Saturday, June 27, 2009

Sistem Muamalah Islam

Sistem Muamalah Islam

1.Pendahuluan

Agama dan ekonomi saling berkait rapat antara satu dengan yang lain. Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap yang merangkumi segala aspek kehidupan, segala amalan ekonomi mestilah dirujuk kepada perintah Allah dari segi halal/haram, wajib/sunat dan harus/makruh. Umat Islam perlu ditanamkan keyakinan bahawa penentuan hukum tersebut adalah hak Allah, tanpa perlu di persoalkan lagi dan ianya adalah yang terbaik. Islam melengkapkan sistem ekonomi dengan ciri-ciri akhlak seperti sifat ikhlas, jujur, amanah, ihsan, sabar, taqwa, tidak angkuh, tidak tamak, tidak dengki serta membuat sesuatu semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya :”Seorang peniaga yang jujur dan amanah (di akhirat kelak) bersama dengan para nabi, orang yang benar-benar beriman, para syuhada’ dan orang-orang salih.”

Muamalah merupakan peraturan-peraturan yang ditentukan oleh al-Quran dan al-Sunnah berkenaan dengan kegiatan dan urusan sesama manusia dalam harta dan hak-hak perdagangan, perniagaan serta cara-cara bagaimana memutuskan pertikaian di antara mereka mengenai perkara-perkara tersebut. Setiap kegiatan kehidupan sama kecil atau yang besar akan dinilai oleh Allah. Dalam kegiatan ekonomi akan dikira ibadat jika dilakukan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan, baik dari segi memenuhi tuntutan aqidah, akhlak, mahupun syariat. Kepentingan individu dan masyarakat dalam ekonomi Islam akan sentiasa diseimbangkan, walaupun kegiatan ekonomi bersifat kebendaan, tapi ianya bercorak kerohanian. Ekonomi Islam sentiasa sesuai sepanjang zaman dan masa kerana sifatnya yan tetap dan dinamik.

Islam tidak mengabaikan peranan harta dalam kehidupan manusia di atas muka bumi ini sebagaimana firman Allah s.w.t dengan maksudnya :”Harta dan anak-anak itu adalah perhiasan kehidupan dunia.” Islam memberi kebebasan dalam perniagaan, namun ada batasan-batasan yang tertentu serta menilai sesuatu pekerjaan itu dari sudut halal dan haramnya. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan bahawa 90 peratus rezeki adalah terletak dalam perniagaan. Ini menunjukkan perniagaan merupakan bidang kerjaya yang sangat penting sebagai sumber kehidupan umat manusia. (Abdul Sami’al-Misri,1993. m.s 1-3).

Dalam sistem muamalah, pengiktirafan amalan adat atau ’urf’ ini dibuat dengan syarat ianya tidak bercanggah dengan dasar asasi ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Dalam hubungan ini ajaran-ajaran al-Quran dan al-Sunnah diperluaskan penggunaannya melalui kaedah qiyas dan ishtisan untuk mengatur kegiatan muamalah umat Islam. Ini dengan sendirinya menunjukkan kedinamikan dan fleksibiliti ajaran Islam dalam menanggani persoalan yang berkaitan dengan muamalah. (Ahmad Hidayat, 2000. m.s. 4).

2.Ekonomi sebagai Ibadat
Setiap kegiatan kehidupan manusia sama ada yang kecil atau besar akan hitung oleh Allah. Dalam kegiatan ekonomi. Ianya akan menjadi ibadah dengan memenuhi apa yang dituntut oleh Islam. (Surtahman Kastin, 1995. ms 13).
(a) Aqidah mestilah betul:- Yakin akan keesaan Allah dari segi asma’ dan sifat, rububiyah dan uluhiyah-Nya. Umat islam mesti berkeyakinan bahawa sistem ekonomi Islam merupakan sistem ekonomi terbaik yang mendapat pengiktirafan Allah.
(b) Niat mestilah betul:- Segala kegiatan ekonomi mesti ikhlas kerana Allah. Segala kegiatan ekonomi mestilah diniatkan untuk Allah, iaitu unutk mendapatkan keredaan-Nya bukan bertujuan bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dan bukan bertujuan selain Allah.
(c) Kerja yang sesuai dengan tuntutan Islam:- Bidang kerja yang diceburi mestilah bidang yang digalakkan dan dihalalkan dalam Islam. Bidang yang terkeji, haram, syubahat perlu dijauhi.
(d) Cara melakukan kerja yang sesuai dengan ajaran Islam:- Untuk mendapat keberkatan dan keredaan Allah, setiap muslim perlu tekun, sabar, amanah, bertanggungjawap, berbudi, berperibadi mulia, bersyukur dan terhindar daripada amalan penipuan dan penindasan.
(e) Natijahnya betul dan membawa faedah kepada orang ramai:- Ekonomi Islam bukan sahaja untuk keperluan peribadi dan keluarga, juga perlu dimanfaatkan kepada orang ramai. Hasilkan ekonomi mestilah dibelanjakan ke arah jalan yang betul dan sesuai dengan kehendak Islam. Di sini timbul kewajipan berzakat dan kemuliaan bersedekah.
(f) Tidak meninggalkan ibadat wajid yang khusus:- Kesibukan mencari rezeki tidak seharusnya menyebabkan kita mengabaikan tanggungjawap terhadap Allah. Janganlah harta dan anak-anak itu melalaikan kita daripada mengigati Allah. Kegiatan ekonomi (yang berbentuk ibadat umum) tidak seharusnya menjadi alasan untuk meninggalkan ibadat khusus seperti solat dan puasa.

3. Perjanjian Al- Mudarabah
Mudarabah merupakan kontrak perkongsian. Kontrak ini berdasarkan prinsip kongsi untung apabila seseorang individu memberi modalnya kepada individu lain untuk digunakan dalam perniagaan. Mudarabah adalah perjanjian di antara pemodal dan pengusaha projek yang ditanggung sepenuhnya oleh pemodal. Untung dikongsi bersama dengan nisbah yang dipersetujui bersama terlebih dahulu misalnya 50:50 atau 30:70. Dalil keharusannya: Pekara ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang mengambil modal dari Sayyidatuna Khadijah sewaktu beliau berniaga ke Syam dan ijma’ para sahabat mengatakan harusnya. Islam memberi kemudahan kepada orang ramai, kerana mungkin terdapat seseorang ada modal tetapi tidak tahu mengurus perniagaan. Pembekal atau pemilik dinamakan mudarib dan pengguna atau pengurus atau usahawan dinamakan darib.



3.1. Sifat kontrak Mudarabah
(a) Jika dua orang (atau lebih) berikat janji secara sukarela, satu pihak membekalkan modal kepda pihak yang satu lagi yang akan mengunakan modal itu dalam perniagaan dan sebagainya untuk mendapatkan keuntungan.
(b) Keuntungan hendaklah dibahagikan di antara kedua-dua pihak. Bagi mengelakkan sebarang perselisihan antara mereka, hendaklah dinyatakan dengan jelas kadar yang akan diperolehi oleh tiap-tiap pihak daripada keuntungan yang bakal diperolehi.
(c) Darib bebas untuk berniaga dengan modal yang diamanahkan kepadanya itu dengan apa cara yang difikirkan baik dan boleh mengambil langkah-langkah yang dirasakan perlu dan betul bagi mendapatkan keuntungan yang maksimum. Sebarang syarat yang menghadkan kebebasannya akan menyebabkan kontrak tidak sah.
(d) Darib tidak dibebani dengan sebarang tanggungjawap atas kerugian yang berlaku ataupun sebarang kerosakan yang bukan disebabkan kecuaiannya.
(e) Apabila darib memulakan perniagaan beliau berfungsi sebagai ejen bagi pemilik modal dam mewakilinya dalam ruang lingkup kuasanya. Dengan itu, pemilik modal bertanggungjawap di sisi undang-undang terhadap semua perbuatan dan kontrak-kontrak yang telah dibuat oleh ejennya dalam dibidang kuasa yang ada pada ejen itu. Ejen itu tidak berhak di sisi undang-undang untuk melakukan sesuatu di luar skop tugas-tugasnya seperti termeterai dalam perjanjian.
(f) Ejen akan mendapat saham tertentu daripada keuntungan yang di perolehi dalam perniagaan itu kerana matlamat keuntungan merupakan tujuan asas perniagaan tersebut.
(g) Jika ejen melanggar syarat-syarat kontrak beliau akan dianggap telah bersalah dan akan dianggap bertanggungjawap di sisi undang-undang.
(Azzal-Ur-Rahman, 1991. ms 321-324).

3.2 Syarat modal
(a) Stok (modal) mestilah terdiri wang emas dan perak (iaitu nilai matawang yang standard digunakan) dan bukannya barangan komoditi kerana harganya tidak tetap. Sekiranya dalam bentuk harta benda hukumnya tidak sah, sehinggalah harta itu dijual dan dapat menguasai wangnya.
(b) Modal sebagai Amanah kepada Darib, apa sahaja stok yang diberikan oleh mudarib (pemilik modal) kepada darib dianggap sebagai amanah kerana darib memiliki stok kepunyaan pemilik modal dengan kebenarannya. Darib tidak mempunyai kuasa untuk menjual atau menggadaikan tanpa kebenaran dan persetujuan yang jelas dari mudarib.
(c) Mudarib tidak boleh turut sama menjalankan perniagaan. Sekiranya ia berbuat demikian ini akan merosakkan perjanjian mudahrabah tersebut, sebagaimana perjanjian muzara’ah, di mana tuan tanah tidak boleh turut sama bekerja di ladang.
3.3 Perbandingan di antara Mudarabah dengan perkongsian berhad moden
Sifat dan syarat-syarat kontrak mudarabah memiliki semua ciri perkongsian moden bila mana salah seorang rakan kongsi tidak aktif atau pasif. Perkongsian bertujuan memperolehi keuntungan berdasarkan persetujuan mutual, tetapi atas-atas syarat-syarat yang adil dan saksama.
Pengurus atau darib sebagai rakan kongsi yang aktif mempunyai kuasa membeli dan menjual barang-barang perniagaan untuk perkongsian seperti yang berlaku dalam perkongsian moden, menggunakan orang lain dalam perniagaan, berhutang dan membayar hutang perkongsian dan melaksanakan aktiviti yang sesuai yang menyumbang kepada kejayaan operasi perniagaan perkongsian itu.
Kebanyakan peruntukan kontrak mudarabah hampir serupa dengan peruntukan-peruntukan perkongsian berhad moden menurut Akta Perkongsian Inggeris 1890. Skop kandungan mudarabah cukup luas bagi merangkumi perniagaan bank moden. Pada hakikatnya, perkongsian Inggeris merupakan replika mudarabah yang dipraktiskan oleh umat Islam dalam berbagai-bagai urus niaga perdagangan beberapa kurun yang lalu. (Azzal-Ur-Rahman, 1991. ms 331-332).
3..4 Asas kontrak mudarabah
(a) Prinsip asasnya ialah al-Quran dan sunnah
Prinsip asas mudarabah ialah al-Quran atau sunnah. Mudarabah tidak dilarang atau diperintah oleh al-Quran dan sunnah. Ia merupakan satu aktiviti yang biasa dilakukan di Semenanjung Arab sebelum Rasulullah dilantik menjadi rasul dan baginda berserta para sahabatnya telah mengamalkannya. Oleh kerana amalan ini berguna, bermanfaat dan bersesuaian dengan prinsip-prinsip asas syariah, maka ia dikekalkan dalam sistem ekonomi Islam.
(b) Pendapat para Fugaha
Para fugaha Islam menerima kesahihan mudarabah kerana keperluan dan kegunaannya di samping kesesuaiannya dengan roh dan tujuan syariah. Oleh kerana ketiadaan nas yang jelas dalam al-Quran dan sunnah menyebabkan para fugaha mempunyai pendapat yang berbeza mengenai sifat, batasan dan lingkungan kontrak mudarabah.
Keempat-empat mazhab utama undang-undnag Islam, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Shafei dan mazhab Hambali bersependapat dengan sedikit perbezaan mengenai syarat-syarat kontrak mudarabah dan kesahihannya sebagai satu bentuk perkongsian perniagaan. Burhan ud Din Abu bakar Al Marginani, Ala ud Abu bakar bin Masud Al Kasani dan Ibn Rushd mengakui kesahihan perniagaan mudarabah. Ibn Rushd menyimpulkan persetujuan pendapatnya iaitu ’Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan umat Islam mengenai kesahihan mudarabah. Ia telah diamalkan pada zaman sebelum Islam dan Islam mengukuhkannya dengan mengekalkannya dalam sistem ekonomi Islam.
3.5 Model bank dalam mudarabah
Jika di pandang dari segi ekonomi, asas konsep sistem pengurusan bank yang lebih baik ialah modal dan perusahaan bekerjasama dan menceburi bidang perniagaan berdasarkan perkongsian. Dalam sistem bank mudarabah, bank akan menerima deposit dalam pebagai bentuk daripada orang ramai berdasarkan mudarabah dan akan berkongsi keuntungan (atau kerugian) dengan mereka atas beberapa syarat yang telah dipersetujui bersama.
Bank akan menandatangani kontrak perkongsian dengan penyimpan, bersesuaian dengan bentuk deposit mereka dan akan memberikan sijil perkongsian kepada mereka atau menganggapnya sebagai akauan deposit semasa atau simpanan biasa menurut syarat-syarat terkandung dalam kontrak. Bank akan menggunakan dana ini untuk memberi pinjaman kepada ahli perniagaan atau firma-firma atas dasar yang sama iaitu berkongsi keuntungan dengan mereka.
3.6 Saham Mudarabah Kerajaan
Saham mudarabah kerajaan juga boleh menjadi satu lagi sumber hasil tetap yang penting untuk negara Islam dan sebahagian daripada keuntungannya boleh digunakan untuk memenuhi kos modalnya. Bentuk praktis perkongsian mudarabah oleh kerajaan iaitu, kerajaan boleh membeli saham-saham mana-mana industri, firma atau perusahaan perniagaan yang berjaya dan terkenal pada nilai dan kemudian menawarkan untuk jualan di pasaran terbuka, melalui perwakilan Bank Pusat Islam.
Bank Islam akan membeli sebilangan besar saham mudarabah kerajaan tetapi bukan untuk membuat keuntungan. Sebaliknya ia bertujuan untuk membantu industri-industri dan perusahaan-perusahaan yang dibiayai oleh kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak modal dan juga untuk meningkatkan aset mudah cair miliknya.

Sebagai kesimpulan kaedah mudarabah begitu releven sekali untuk semua masyarakat kerana wang yang ada pada masyarakat tidak beku begitu sahaja malah dimanfaatkan kepada mereka dan boleh digunakan untuk mewujudkan bidang pekerjaan bagi mendapatkan pendapatan rakyat secara umum.
4. Perjanjian Gadaian (Al-Rahn)
Dari sudut bahasa bermakna mantap dan berkekalan. Takrif gadaian ialah satu barangan yang dijadikan peneguhan (jaminan) kepercayaan dalam hutang piutang. Ulama Syafi’i mentakrifkan gadaian sebagai menjadikan sesuatu (harta) pegangan (jaminan) bagi sesuatu hutang yang boleh digunakan untuk melunasi jika penghutang gagal melunasinya. (Wahbah al-Zuhaili, 1999. m.s.160).

Perjanjian gadaian ini dimasukkan di dalam bahagian perjanjian-perjanjian perdagangan kerana seseorang peniaga itu kadang kala terpaksa menggadaikan hartanya kerana mendapatkan wang tunai dengan cepat untuk meluaskan lagi perniagaannya atau mungkin untuk menutup hutangnya. Barang itu boleh dijual jikalau hutang tidak dapat dijelaskan, dengan syarat penjualan itu hendaklah dilakukan dengan adil (dengan harga yang berpatutan pada masa itu). Dalil keharusannya ialah Firman Allah dengan maksudnya :” Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedangkan kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan dengan barang gadaian untuk dipegang(oleh orang-orang yang memberi hutang). (Al-Baqarah, 2:283). (Haron Din, 2000. m.s. 49-52).

Rasulullah bersabda dengan maksudnya:” Riwayat dari Anas berkata: Rasulullah telah mengadaikan baju besi beliau kepada seorang Yahudi di Madinah, lalu beliau berhutang syair (gandum) daripadanya (Yahudi) untuk keluarganya.” (Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar, al-Nasai dan selainnya). Prinsip utama dalam gadaian ialah barang gadaian itu hendaklah dianggap sebagai penjamin kepada orang yang berhutang. Ia tidak sepatutnya digunakan untuk mendapat hasil atau digunakan untuk kegiatan riba yan akhirnya memberatkan orang yang berhutang.
4.1 Rukun Gadaian
(a) Lafaz, iaitu perkataan ’aqad seperti kata orang yang mengadaikan, ”Saya gadaikan benda ini kepada anda untuk hutangku yang sekian banyak kepada anda.”Maka jawap orang yang memberi hutang , ”Saya terima gadaian ini.”
(b) Ada dua pihak iaitu orang yang menggadaikan dan orang yang menerima gadai dan disyaratkan keadaan kedua-duanya mempunyai keahlian membelanjakan hartanya.
(c) Barang atau benda yang digadaikan iaitu tiap-tiap benda atau barangan yang boleh dijual bolehlah digadaikan dengan syarat benda atau barangan itu tidak rosak sebelum tiba masa janji hutang dijelaskan.
(d) Ada hutang, disyaratkan keadaan hutang telah tetap. Apabila benda atau barangan yang digadaikan itu di terima oleh yang berpiutang, maka tetaplah gadaian dan orang yang mempunyai benda atau barangan tidak boleh menghilangkan miliknya, sama ada dengan cara dijual atau dihadiahkan atau sebagainya kecuali dengan kebenaran yang berpiutang.
Walaupun hutangnya tinggal sebahagian, barangan yang dijadikan sebagai cagaran wajib dijaga sehingga seluruh hutangnya habis dibayar. Apabila rosak atau hilang benda atau barangan yang digadaikan di tangan orang yang memegangnya, ia tidak perlu menganti kerana benda atau barangan gadaian adalah barangan amanah (percaya-mempercayai) kecuali jika berlaku kerosakan atau kehilangan yang disebabkan oleh kecuaiannya.
4.2 Faedah barangan yang digadaikan
Sebagai orang yang memiliki benda atau barangan gadaian, ia berhak mengambil manfaat barangan gadaian walaupun tanpa kebenaran daripada orang yang menerima gadaian tersebut. Walaubagaimanapun usaha pemilik gadaian untuk menghilangkan miliknya daripada barangan itu atau mengurangi harga barangan adalah tidak dibenarkan melainkan keizinan orang yang menerima gadaian. Benda atau barangan tidak boleh dijual atau menyewanya kepada orang lain sehingga habis tempoh gadaian tersebut kepada peminjam asal. Sabda Rasulullah s.a.w. dengan maksudnya :”Gadaian tidak menutup akan orang yang mempunyainya dari mendapat manfaat barangan itu, faedah-faedah kepunyaannya dan dia wajib membayar denda.” (riwayat al-Syafi’i dan al-Daruqatni).
Orang yang memegang gadaian boleh mengambil manfaat terhadap barangan yang yang digadaikan dengan sekadar ganti kerugiannya untuk menjaga barangan itu. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya :”Apabila digadaikan seekor biri-biri, maka orang yang memegang gadaian itu boleh minum susunya sekadar sebanyak makanan yang diberikannya kepada biri-biri itu, maka jika dilebihkannya dari sebanyak itu, maka yang lebihnya riba. (Abdul Sami’, 1993. m.s. 117-120).
4.3 Hukum Gadaian
Hukum-hukum gadaian mengandungi dua bahagian iaitu hukum-hukum gadaian sah dan hukum-hukum gadaian fasid. Aqad gadaian sah merupakan gadaian yang memenuhi syarat-syarat yang diperlukan. Gadaian yang tidak sah merupakan aqad gadaian yang tidak memenuhi syarat-syarat yang diperlukan. Gadaian jenis ini dinamakan mengikut ulama Hanafi iaitu batil dan fasid. Gadaian batil, di mana dalam aqad terdapat kecacatan, hilang kelayakan akibat gila dan gadai bukan harta. Gadaian fasid iaitu di dalam aqad terdapat kecacatan yang menyusul seperti barang gadaian digunakan perkara lain atau hutang itu menjadi jaminan kepada perkara lain.
Aqad gadaian akan tamat melalui beberapa cara iaitu pelupusan, hibah, pelunasan hutang dan sebagainya. Aqad gadaian akan tamat apabila barang gadaian dipulangkan kembali kepada pemiliknya. Aqad gadaian juga akan tamat sekiranya hutang lunas keseluruhannya. Sebagai kesimpulan gadaian merupakan sesuatu yang dibenarkan oleh syarak bagi memenuhi keperluan ummah dalam menjalani kehidupan seharian.

Kesimpulan
Sesuatu kejayaan sistem ekonomi Islam bergantung sejauhmana pengubahsuaian dapat dilakukan di antara keperluan kebendaan dan keperluan etika yang diperlukan oleh manusia. Sistem ekonomi Islam tidak melupakan ciri asas kemajuan manusia myang bergantung kepada sejauh mana kejayaan koordinasi dan harmoni di antara aspek moral dan kebendaan dalam kehidupan manusia. Islam mengajar bahawa kejayaan dan keselamatan bukalah terletak pada fahaman kerohanian atau kebendaan semata-mata tetapi terletak pada kombinasi keharmonian kedua-duanya. Sistem ekonomi Islam menekankan bahawa manusia tidak sepatutnya menyerahkan sepenuhnya fahaman kerohanian, mengabaikan kepentingan unsur-unsur kebendaan dan menganggap ia sebagai berdosa ataupun berpegang kepada kebendaan yang menilai hasil-hasil kebendaan dan mengenepikan nilai-nilai moral kehidupan.(Afzal-ur-Rahman, 1991 ms. 318-320).
Allah s.w.t. menjadikan umat manusia atas asas saling perlu antara satu sama lain. Tidak ada seorang pun boleh hidup keseorang tanpa bantuan orang lain. Ada orang yang mempunyai setengah alat-alat kemudahan sedangkan orang lain tidak memilikinya, ada orang mempunyai bahan makanan sedangkan yang lain tidak memilikinya. Ada orang mempunyai kemahiran tetapi tidak mempunyai modal, begitu juga sebaliknya. Demikian sistem kehidupan atau sunnah Allah di dunia ini.
Oleh yang demikian Allah s.w.t. telah memberi ilham kepada manusia agar bergaul dan saling bertukar ganti sama ada benda-benda atau faedah-faedah dengan cara jual beli, pinjam-meminjam upah-mengupah, sewa-menyewa, gadai- menggadai dan lain-lain lagi. Sistem mudarabah dan gadaian merupakan salah satu cara Islam yang terbaik dalam urusan muamalah umat Islam.
Islam menganjurkan kesaksamaan dan demokrasi ekonomi, iaitu setiap orang diberi peluang yang sama bagi memperolehi keperluan hidup. Setiap orang berpeluang memperolehi keperluan hidup dan bahagian yang di terima adalah sesuai dengan tingkat usaha, kemahiran dan kelayakannya. Bagi sesetengah golongan yang tidak merebut peluang ini dengan sebab tertentu atau kerana bahagian yang di terimanya masih tidak mencukupi, maka kerajaan perlu menyelesaikan melalui cukai, zakat, wasiat, dan derma.(Surtahman Kastin, 1995 ms. 113).
Berikut adalah teks penuh ucapan Allahyarham Tan Sri Dato' Jaffar Bin Hussein, bekas Governor Bank Negara Malaysia di USM pada Pada 9 Mac 1990, jam 8:30 malam di Dewan Tuanku Syed Putra Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Ucapan penting ini adalah dianggap penggerak utama kepada perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia di mana selepas itu Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) pada tahun 1993 dan kemudiannya dikenali sebagai Skim Perbankan Islam (SPI). "Tuan-tuan mungkin ingat ucapan Dr. Martin Luther King yang bertajuk I have a dream. Seperti Martin Luther King, saya juga mempunyai satu impian. Impian saya ialah satu hari nanti Malaysia akan mempunyai dua sistem kewangan yang sempurna, iaitu sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam. Dan rakyat Malaysia, khasnya yang bukan beragama Islam, memilih sistem kewangan Islam, untuk urusan kewangan mereka. Itulah impian saya."



Sistem kapitalis yang saat ini banyak dipergunakan telah menunjukkan kegagalan dengan mengakibatkan terjadinya krisis ekonomi. Sistem ekonomi Islam sebagai pilihan alternatif mulai digali untuk diterapkan sebagai sistem perekonomian yang baru. Bagaimanakah sistem ekonomi Islam itu? Sistem ekonomi Islam mempunyai perbezaan berbanding dengan sistem ekonomi yang lain, dimana dalam sistem ekonomi Islam terdapat nilai moral dan nilai ibadah dalam setiap kegiatannya. Prinsip ekonomi Islam adalah, kebebasan individu, hak terhadap harta, ketidaksamaan ekonomi dalam batasan, kesamaan sosial, keselamatan sosial, larangan menumpuk kekayaan, larangan terhadap institusi anti-sosial dan kebajikan individu dalam masyarakat.













Rujukan
Abdul Sami’ al-Misri, 1993. Perniagaan dalam Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia.
Afzal-ur-Rahman, 1991. Doktrin ekonomi Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia.
Ahmad Hidayat Buang, 2000. Sistem Muamalah Islam. Universiti Malaya.
Faizah Ismail, 2000. Asas-asas Muamalat dalam Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia.
Haron Din, 2000. Manusia dan Islam (Jilid Tiga). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia.
Surtahman Kastin Hasan, 1995. Ekonomi Islam dasar dan amalan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur Malaysia.
Wahbah al-Zuhdi, 1999. Fiqh Perundangan Islam Jilid V, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur Malaysia.

Rujukan Internet
http://members.tripod.com/~bimcrot/global/isnom.html#1
http://kasei-unri.org/index.php
http://www.globalpro.com.my/
http://islamlib.com/id/program.php
http://www.alsofwah.or.id/

0 comments: