Tuesday, June 16, 2009

Amalan Khurafat

BERKHURAFATKAH KITA ?
Oleh : Us. Abd Rashid b. Abdul Halim, UniKL-MSI, Kulim, Kedah.
(abdrashid@msi.unikl.edu.my)

Khurafat adalah salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada Khalik (pencipta/Allah) kepada makhluk (yang dicipta). Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada Allah dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya bagi mendapat kebaikan daan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan keyakinan hanya Allah. Kepada-Nya seluruh makhluk bergantung. Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain daripada Allah bahawa jika sekiranya Allah mengkehendaki ke atasku sesuatu kemudaratan adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu. Atau jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan kepadaku apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu. Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang bertawakkal”. ( Surah Al-Zumar, Ayat 38 )

Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakkal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat di dalam amalan khurafat.




Dari Abu Hurairah R.A Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud: “Tidak ada jangkitan ( yang berlaku tanpa izin Allah ), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar ( seperti yang dipercayai ).”

Perkataan khurafat membawa maksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong, dongeng dan tahayul, atau sesuatu hal yang tidak masuk akal, atau sesuatu yang dusta tetapi menarik

Lebih jelas lagi, amalan khurafat melibatkan perbuatan, ungkapan kata, cerita atau kisah, benda seperti batu, kayu atau tanah, bilangan tertentu sesuatu perkara, konsep, prinsip atau aliran fahaman yang dipercayai dan diiktikadkan dengan yakin sebagai boleh mendatangkan kebahagiaan/manfaat ataupun penderitaan/mudarat kepada seseorang, sedangkan semuanya itu merupakan sesuatu yang tidak sekali-kali terdapat dalam sumber dan suruhan agama Islam yang maha suci, serta pada waktu yang sama bertentangan pula dengan logik akal yang sihat dan tidak juga bersandarkan realiti, kerana itu ia merupakan sesuatu yang batil, yang langsung tidak mengandungi sebarang unsur kebenaran.

Amalan khurafat yang telah berlaku sejak zaman jahiliyyah sehinggalah kini. Pada zaman Jahiliyah, mereka yang hendak bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa alamat baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, maka mereka akan menangguhkan pemergian, kerana di takuti bala akan turun. Pada zaman kita ini, ada juga bermacam khurafat antara amalan memuja dan meminta sesuatu dari kuburan atau keramat (amalan ini berlaku dengan hebatnya di sebuah pulau di Melaka), percaya kepada batu, kayu, tangkal dan sebagainya jika digunakan akan mendatangkan sesuatu yang baik dan menghindarkan yang buruk dan banyak lagi contoh yang telah dinyatakan sebelum ini dalam banyak penulisan, ceramah dan sebagainya.

Kita, sebagai seorang Muslim yang sentiasa mengharapkan kebaikan dan berada dalam keredhaan Allah mestilah menjauhi perkara-perkara khurafat, kerana amalan khurafat adalah syirik dan merosakkan iman serta dosanya tidak diampunkan. . Firman Allah yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. Al-Nisa 48.

Marilah kita bersama-sama menilai, meneliti dengan bimbingan sumber/rujukan Islam yang sah dalam perkara-perkara baru yang tidak jelas kebenarannya, atau banyak keraguan mengenainya, bagi menyelamatkan dari bahaya dan kerosakan khurafat.

0 comments: