Tuesday, June 9, 2009

Pengurusan Ibadah menurut Islam

Pengurusan Ibadah Menurut Islam
Pengertian Ibadah
Pengurusan Ibadah bukan sahaja menjurus hubungan dengan Allah tetapi juga manusia dan makhluk lain, iaitu hablum minallah dan hablum minannas. Manusia adalah diwajibkan sentiasa memelihara hubungan dengan Allah. Ibadah merupakan sebuah kata menyeluruh meliputi apa saja yang dicintai dan di redhai Allah, berhubungkait seluruh ucapan dan perbuatan yang nampak mahupun tidak Nampak seperti solat, zakat, puasa, haji, kata-kata benar, menunaikan amanat, berbuat baik kepada orang orang tua, bersilaturrahim, memenuhi janji, menyeluruh berbuat baik, melarang dari perbuatan mungkar, berperang melawan kekufuran dan kemunafikan, lemah lembut terhadap tetangga dan anak yatim, membantu orang miskin, serta berdoa, zikir, membaca ai-Qur’an dan sebagainya. (Syaikhul Islam, 1983).
Menurut Profesor Dr.T.M. Hasbi al-Syiddieqy ”ibadat adalah turut, patuh, taat, tunduk dan doa”. Definisi ini berdasarkan firman Allah yang maksudnya :’Apakah Aku tiada pesankan kepadamu, wahai nak Adam: jangan kamu mentaati syaitan; bahawanya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.’(surah Yasin 36:260). Ibnu Taimiyyah menyatakan ibadat menurut pengertian syara bermaksud ketundukan dan penyerahan diri secara total kepada Allah s..w.t. dengan penuh keyakinan dan kecintaan. Menurutnya lagi ”namun ibadat yang dituntut perlulah memenuhi pengertian kepatuhan dan kecintaan/ kasih sayang. Oleh itu ia seharusnya mengandungi kepatuhan memuncak dan kecintaan yang mendalam.”
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:”Sesiapa yang mencintai kerana Allah, memarahi kerana Allah, membenci kerana Allah dan menghalang kerana Allah sesungguhnya telah menyempurnakan imannya.”(Riwayat Abu Daud). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ”Ikatan iman yang paling kukuh sekali ialah kecintaan kerana Allah dan kemarahan kerana Allah.” (Noor Naemah, 1999).

Tujuan beribadah kepada Allah untuk dicintai dan ridhai Allah, termasuk mencintai Allah dan Rasul itu sendiri, takut kepada Allah dan taubat kepadaNya, ikhlas dalam beribadah, menerima hukumNya, bersyukur atas nikmat-nikmatNya, rela terhadap keputusanNya, berserah diri (tawakkal) kepadaNya, mengharap rahmatNya dan takut siksaanNya adalah termasuk beribadah kepada Allah. Dzat mencipta makhluk adalah demi beribadah kepadaNya, firman Allah: Dzariyat:56).
      
“(56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu)”.
Hablum minallah
Pengurusan Ibadat mempunyai hakikat yang tersendiri, maksud dan natijah yang tertentu yang sepatutnya diperolehi daripada ibadat dilakukan. Hablum minallah iaitu hubungan dengan Allah, jika hubungan dengan Allah yang dilakukan tidak mampu menghasilkan natijah yang positif kerana membina personaliti muslim yang cemerlang maka sebenarnya belum mencapai matlamat sebenar beribadat, kerana pengurusan ibadat yang dituntut itu mempunyai maksud-maksud yang tersirat di sebalik acara-acara zahir. Menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. (Hablum minallah) yang dibincangkan iaitu rukun Islam, doa, taubat, zikir, jihad, tasbih dan amar makruf.
Dua kalimah syahadah
Dua kalimah syahadah merupakan rukun Islam yang paling penting. Pengucapan ini merupakan satu pengisytiharan beriman kepada Allah s.w.t. Syahadah yang dipenuhi keimanan dan keyakinan yang tulen dapat dilihat apabila dijelmakan dalam bentuk tingkah laku seseorang beriman dam melakukan ibadat dan amal salih. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya ”Diasaskan Islam itu kepada lima perkara : dua kalimah syahadah, mengerjakan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa dalam bulan ramadan.” (Haron Din, 2002).

Sembahyang
Sembahyang menurut pengertian istilah ialah suatu ibadah yang mengandungi perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.(A.Rahman Ritonga dan Zainudin dalam Fiqh Ibadah, 2002) . Sembahyang satu cara umat manusia mensyukuri nikmat Allah dan ianya membentuk perhubungan manusia dengan Tuhan-Nya.(Wahbah al-Zuhaili, 1995) . Sembahyang merupakan ibadat yang tertua yang difardukan oleh Allah s.w.t ke atas manusia yang mukallaf. Sabda Rasulullah s.a.w. ”Sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya menjadi kifarat untuk dosa yang berlaku di antaranya selama tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Abu Hurairah).
Puasa
Mengikut pengertian syarak puasa adalah menahan diri dari makan, minum dan dari segala yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hinggalah masuk matahari. Dalil wajib puasa, Firman Allah yang maksudnya: ”Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelum daripada kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al- Baqarah 2:183). Rasulullah s.a.w. bersabda ”Betapa ramai dari kalangan orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu dari puasanya kecuali lapar.” Dengan berpuasa seseorang itu dapat melenyapkan nafsu amarah dan memecahkan kubu yang ada pada anggota mata, telinga, lidah dan faraj. Puasa telah melemahkan segala angggota tersebut melakukan keinginan nafsu. Ibadat puasa boleh menguatkan peribadi dan meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa insan, menundukkan nafsu yang jahat dan puasa merupakan cara paling berkesan membentuk peribadi yang mulia.
Zakat
Islam melihat hidup ini sebagai suatu tanggungjawap bersama untuk mentadbir dengan penuh keyakinan bahawa Allah itu sentiasa meredhai amalan manusia yang berpedoman kepada keimanan. Perkataan zakat memberi erti kesucian, kebersihan, keberkatan, kebajikan dan kepujian. Dari segi syarak, zakat membawa maksud mengeluarkan sebahagian daripada harta oleh seseorang Islam apabila cukup haul dan nisabnya dalam kadar yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah s.w.t. : ”Dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat hartamu.” (al-Nisa’ 4 :77). Zakat adalah kewajipan yang ditetapkan berdasarkan Al-Quran.

Haji
Dari segi syarak bererti melakukan kunjungan ke Mekah untuk menunaikan amal ibadat secara wajib dengan syarat-syarat dan rukun yang tertentu serta pada masa dan tempat yang ditetapkan. Firman Allah s.w.t. ”........Dan sempurnakan ibadah haji dan umrah kerana Allah.....”. Ibadah haji mendorong pengakuan keesaan Allah s.w.t. serta penolakan terhadap segala macam bentuk kemusyrikan. (M.Abdai Rathomy dalam Riyadhus Shalihin, Imam Nawawi). Nabi s.a.w. bersabda ,” Siapa yang melakukan haji, tidak melakukan rafas dan tidak berbuat fasik, ia kembali sebagaimana pada ketika ia dilahirkan oleh ibunya.” Pengisytiharan tauhid yang jelas dan laungan yang tegas dilakukan serentak menyebut nama Allah, "Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak", dilaungkan bukan kerana sesuatu kekurangan, tetapi penyataan sesuatu ibadah dalam bentuk demontrasi menentang syirik, kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mentauhidkan Allah.

Doa
Dari segi bahasa, doa bererti seruan atau permintaan. Dalam Al-Quran seperti Firman Allah dengan maksudnya :”Katakan olehmu hai Muhammad: Berdoalah (pujilah) akan Allah atau berdoalah(pujilah) akan al-Rahman.” (Surah al-Isra’17:10). Doa juga membawa erti sebagai permohonan dan permintaan. Ini dilihat dalam ayat-ayat yang berikut: firman Allah yang maksudnya:”Mohon (mintalah)kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan(permintaan) kamu itu.”(Surah al- Mu’min 40: 60). Doa adalah salah satu ibadah hablum minallah yang penting dalam kehidupan seseorang muslim. Allah s.w.t. hanya menerima doa orang yang dapat melaksanakan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya secara mutlak. (Mustafa Daud, 1995).
Zikir
Dari segi bahasa memberi erti memperingati, menyebut dan mengulangi. Dalam al-Quran zikir bermaksud sebagai segala sesuatu yang berbentuk daya usaha mengingati dan mengenangi Allah s.w.t dengan melakukan penyebutan tahmid (pujian), tasbih (penyucian) dan tamjid (pengagungan) Allah s.w.t. serta melaksanakan segala ibadat dan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Dalilnya seperti firman Allah yang bermaksud :”Bersegeralah kamu zikir kepada Allah.” (Surah al-Jum’ah 62:9). Kesimpulannya zikir itu terbahagi kepada dua iaitu segala pujian, ingatan dan kebesaran Allah s.w.t. (Mustafa Daud, Konsep Ibadat menurut Islam, 1995).
Amar makruf dan nahi mungkar
Pencapaian yang paling penting dalam kehidupan adalah menjalin hubungan dengan Allah (hablul Minallah) ialah mereka yang berupaya melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam ayat , dalam maksudnya :”Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeruh kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang melakukan mungkar. Merekalah orang yang mendapat kejayaan.” Al-Fagih al-Mufassir al-Husain bin Muhammad al-Riqfani menghuraikan pengertian al-makruf dan al-mungkar seperti yang terdapat dalam al-Quran. Beliau menyatakan bahawa kebaikan yang dimaksudkan itu ialah al-tauhid dan kemungkaran itu ialah al-syirik(kesyirikan). (Mustafa Daud, 1995).

Jihad
Memberi erti kesungguhan hingga tercapai cita-cita, contohnya kesungguhan seseorang yang sanggup mengorbankan apa sahaja yang ada padanya, jiwa, raga, harta dan segala kepentingan yang lain. Jihad juga bererti perjuangan bagi menegakkan keadilan di alam ini. Dalam al-Quran jihad memberi maksud kesungguhan dan daya usaha seseorang Islam mendaulatkan kalimah Allah s.w.t. dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah dengan maksudnya :”Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, mereka pula tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan taat dan merendah diri.(Al-Taubah:9:29). (Haron Din, 2000).
Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:”Kami telah kembali dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar. Para sahabat bertanya :Apakah dia jihad besar itu? Jawap Rasulullah s.a.w. iaitu jihad hati atau jihad melawan hawa nafsu. Ini jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. menitikberatkan jihad menentang hawa nafsu godaan syaitan dan nafsu syahwat. Iman adalah senjata yang paling penting untuk menentang syaitan. Dengan menjaga hubungan dengan Allah (hablum Minallah), manusia dapat membentengkan diri dari segala musuh agar dapat perlindungan Allah s.w.t.


Pengurusan ibadah dalam konteks hablum minannas
Menurut kepercayaan umat Islam, manusia diciptakan oelh Allah untuk menjadi khalifah-Nya di muka bumi ini. Istilah ibadah bermaksud tanggungjawap dan persetujuan manusia terhadap kehendak Allah dan petunjuk-Nya, di samping menunaikan perintah ritual-Nya, Islam menyeru mereka menggunakan sumber-sumber semulajadi untuk faedah manusia dan peningkatan kehidupan mereka. Pengurusan ibadah bukan sahaja melakukan hubungan dengan Allah tetapi juga hubungan manusia dengan manusia (hablumminannas). (Afzalur Rahman, 2002).
Hubungan dengan manusia (hablum minannas)
Hubungan sesama Islam
Islam menjalankan hubungan di kalangan penganutnya di atas prinsip aqidah yang diwajibkan dikira lebih erat dan rapat daripada hubungan keluarga, darah, bangsa, bahasa, negara dan kepentingan kebendaan. Hubungan yang menjadikan seluruh penganut Islam satu umat walaupun berbeza dalam hubungan yang lain. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :”Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.” (Al-hujuraat:10).(Abdul Hadi Awang, 1995).
Hubungan dengan bukan Islam
Agama Islam juga memberi perlindungan kepada umat bukan Islam, iaitu mereka dilindungi daripada segala ancaman luar dan dilindungi dari segala penganiayaan dan pencerobohan dari dalam negara. Rakyat yang beragama Islam mesti menjaga diri dan lidah mereka daripada menyakiti rakyat yang bukan Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya:”Sesiapa yang menyakiti ’Dhimmi’, maka dia telah menyakiti aku; dan sesiapa yang menyakiti aku, dia telah menyakiti Allah.” (A.Rahman I.Doi,1992).


Hubungan keluarga
Tujuan perkahwinan merupakan sifat atau tabiat manusia yang cenderung untuk mengadakan hubungan sesama manusia. Allah telah menjadikan hubungan perkahwinan sebagai Sunnah para Rasul di mana ianya akan melahirkan rasa saling cinta, sikap saling bekerjasama dengan kebaikan dan bantu membantu untuk mendidik keturunan. Hikmah Perkahwinan Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi pelabuhan yang aman, kukuh bagi setiap ahli keluarga. Membincangkan semua hal, baik gembira maupun kesulitan yang dihadapi. Rasa aman dan perlindungan yang dirasakan oleh anak dalam keluarga akan memberi kepadanya kepercayaan pada diri sendiri dalam menghadapi berbagai persoalan hidupnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: " Kaum lelaki (suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita (isteri) oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atau atas sebahagian yang lain dan disebabkan kerana para suami telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. (Hedaya Hartford, 2002).
Hubungan dalam masyarakat
Kehidupan yang baik, indah, aman, harmoni dan penuh kecemerlangan sesungguhnya akan terbina dalam masyarakat jika di dalamnya tumbuh subur suasana kasih sayang. Apa lagi jika kasih sayang itu berasaskan akidah suci kepercayaan kepada yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa. Menurut ajaran Islam, hubungan erat sesama insan digambarkan junjungan Rasulullah SAW sebagai ’satu badan’ di mana setiap anggota badan itu saling lengkap melengkapi, bermuafakat, tolong menolong dan bersama berasa susah senang tatkala mengalami perkara baik atau buruk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Bandingan orang yang beriman itu dari segi saling cinta-mencintai, seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit maka seluruh anggota yang lain turut sama berjaga dan menderita.”
Hubungan dengan jiran
Hubungan silaturrahim dengan jiran tetangga tidak kira dalam konteks kecil (masyarakat sekitar) ataupun besar (antarabangsa) adalah salah satu cara hidup yang digalakkan Islam. Dalam konteks kejiranan ini, kita berkewajipan menjalinkan hubungan yang baik dengan menerapkan semangat kerjasama yang jitu. Kejiranan mempunyai ikatan dengan keimanan. Salah satu tanda orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat ialah dengan adanya di kalangan manusia yang memulia dan menjaga hak jiran tetangganya. Sesiapa yang mengabaikannya maka ia sebenarnya bukanlah dikalangan orang yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia menghormati (berbuat baik) kepada jiran tetangganya,” (Riwayat Al-Buhari dan Muslim ).
Hubungan Antarabangsa
Hubungan ukhwah atau silaturrahim berskala besar atau antarabangsa dilihat sebagai suatu kerangka hubungan antara sebuah negara atau suatu bangsa dengan sebuah negara atau bangsa lain. Sejarah peradaban zaman kegemilangan Islam di bawah naungan baginda Rasulullah s.a.w. bermula ketika Rasulullah dan sahabat berhijrah meninggalkan tanah Mekah ke Madinah. Pada masa itu, hubungan antarabangsa meliputi bukan sahaja dari aspek ekonomi malah juga aspek diplomatik yang menguntungkan. Kerajaan Islam yang berpusat di Timur Tengah misalannya mempunyai kedudukan geografi yang strategik telah menjadi laluan utama perdagangan.
Hubungan dengan Alam
Masalah alam sekitar seperti pencemaran, penebangan hutan, pengurangan sumber bumi dan sebagainya telah lama mengakibatkan hilangnya keseimbangan kepada alam. Permasalahan ini sering menjadi perbincangan hangat pada setiap lapisan masyarakat dunia. Sesungguhnya krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga setiap kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya. Kebelakangan ini terdapat salah faham di kalangan umat Islam yang tidak mendalami ilmu dan peradaban Islam dengan beranggapan bahawa permasalahan serta isu-isu berkaitan alam sekitar adalah perkara yang tiada hubung kait dengan ajaran Islam. Mereka beranggapan pemuliharaan alam sekitar dan hal-hal yang berkaitan dengannya tidak termasuk dalam ruang lingkup Islam.

Hubungan manusia dengan politik
Undang-undang Islam merupakan norma-norma hukum Islam yang memerlukan kuasa pemerintahan bagi menjamin pelaksanaannya dan mengenakan hukuman ke atas sesiapa sahaja yang tidak mematuhinya. Ini bereti bahawa pada asasnya kewajipan melaksanakan undang-undang Islam itu terletak atas bahu kerajaan yang memerintah (Uli al-Amr). Walau bagaimanapun, oleh kerana pelaksaan hukum Islam merupakan tugas amar makruf dan nahi mungkar, setiap orang Islam tidak boleh melepas diri daripada dipertanggungjawapkan dalam urusan melaksanakan undang-undang Islam ini. Kewajipan orang awam yang paling asas sekali ialah mempersiapkan diri mereka sendiri dan masyarakat ke arah penerimaan undang- undang Islam sebagai undang-undang yang dilaksanakan dalam semua bidang hidup. Janganlah masalah kesedaran awam itu nanti boleh menjadi penghalang terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut atau boleh dijadikan alasan oleh mana-mana pihak untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam. (Mahmood Zuhdi, 1997).

Hubungan manusia dengan pentadbiran
Hubungan rakyat dan pemerintah juga merupakan sesuatu perkara terpenting dalam ibadah iaitu hubungan antara manusia (hablum minannas). Pemerintahan Islam hendaklah ditegakkan di atas asas yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu, tanggungjawab Pemerintah. maksubnya tanggungjawab di hadapan Allah s.w.t. dan di hadapan manusia.. Mereka hendaklah menjalankan pemerintahan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w., yang membawa unsur-unsur beriman, beribadat dan berakhlak di dalam politiknya. Mereka juga haruslah menolak pengaruh kebendaan dan kepentingan duniawi Allah s.w.t. menentukan kekuasaan pemerintah sebagai pelaksana dan wakil yang diberi tanggungjawab oleh Allah s.w.t. (Ruzian Markom, 2004).

Perhatikanlah ucapan Omar bin Abdul Aziz, seorang Khalifah yang memerintah selepas zaman Nabi dan zaman para sahabat sebagai bukti kewujudan pemerintahan Islam yang berjaya selepas generasi pertama. Di antaranya beliau berkata yang bermaksud: "Adapun selepas itu, maka sesungguhnya tiada lagi Nabi selepas Nabi kamu Muhammad s.a.w dan tiada lagi kitab selepas Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadanya." " Ingatlah, sesungguhnya apa yang dihalalkan oleh Allah Azzawajalla tetap halal hingga ke hari kiamat dan apa yang diharamkan oleh Allah tetap haram hingga ke hari kiamat." " Ingatlah sesungguhnya tidak harus bagi seseorang itu taat dalam perkara derhakakan Allah Azzawajalla." "Ingatlah, sesungguhnya aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu, tetapi Allah telah menjadikan aku orang yang paling berat memikul tugas."
Kesimpulan
Dengan menjalinkan hubungan dengan Allah (hablum minanallah) manusia akan dapat merasakan dirinya bebas dari apa-apa kuasa dan pengaruh selain daripada Allah. Tanpa beribadat kepada Allah manusia akan berpaut kepada yang lain dan menyembahnya juga. Kata Ibnu Taimiyah:”Sesiapa yang tidak menyembah Allah dia akan menyembah sesuatu yang lain seperti harta, kedudukan, lambang atau sesuatu Tuhan lain yang dicipta sendiri. Ibadah itu sebenarnya adalah hak Allah, Rasulullah bersabda dengan maksudnya :”Hak Allah ke atas para hamba ialah mereka mesti menyembahnya dan tidak menyekutuinya dengan apa jua.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Firman Allah s.w.t. :”Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum dari kamu agar bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit, lalu dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu, kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kamu mengetahuinya.” (Al-Baqarah 2: 21 & 22).
Dalam pada itu, selain hubungan manusia dengan Allah s.w.t., Islam juga menggariskan peraturan hidup sesama manusia dalam rumahtangga, masyarakat dan social, serta negara. Islam bukan agama individu atau sekumpulan manusia, bahkan Islam adalah agama untuk semua manusia. Jadi sesama manusia Islam mewujudkan sistem hidup yang praktikal di mana Islam meminta umatnya mengenali sesama sendiri, eratkan hubungan silaturrahim, lahirkan kasih saying, menyeru kebaikkan dan mencegah kemungkaran sebagaimana firmanNya:" Kamu adalah sebaik-baik umat yang diutuskan, menyeru kepada kebaikkan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah S.W.T." ( Surah al-al-Imran ayat: 110 ). Dalam Islam seseorang itu mempunyai hak untuk hidup. Islam melindungi nyawa manusia daripada dibunuh dan Islam juga memperuntukkan undang-undang qisas untuk memelihara nyawa manusia.Di samping itu Islam mengajak manusia sentiasa menjaga kesihatan badan dan kebersihan bagi mengelakkan penyakit yang boleh membawa kematian.
Islam juga melarang orang –orang beriman melakukan sebarang kerosakkan dan kejahatan yang menjatuhkan maruah kehormatan seseorang kerana manusia itu walau pun berbeza warna kulit, rupa paras dan kaya miskin mereka adalah sama di sisi Allah s.w.t. Oleh itu Islam menjaga kehormatan manusia. Pengharaman zina dan sebagainya adalah satu cara Islam menjaga kehormatan manusia agar tetap terpelihara. Islam tidak memusuhi orang kafir yang tidak bermusuh dengan Islam yang tinggal di negara Islam. Sebaliknya mereka dijamin hak untuk hidup bersama-sama orang Islam.Bagi mengekalkan kedamaian dan kesejahteran hidup, Islam mendidik umatnya berakhlak mulia dan mengutamakan keadilan dalam setiap perkara hidup manusia.Akhlak buruk adalah sama sekali dilarang oleh Islam kerana ia boleh merosakkan perhubungan antara anggota masyarakat. (A.Rahman I.Doi, 1992).
Apabila Allah S.W.T mencipta manusia sudah pasti yang menciptakan manusia itu tinggi kuasaNya daripada makhluk. Sebagai makhluk sememangnya kita bersifat lemah dan sentiasa memerlukan hidayah, bimbingan dan pertolongan Allah S.W.T kerana kita yakin dan percaya tanpa ragu-ragu lagi bahawa Allah S.W.T yang mengatur kehidupan kita ,memberi rezeki kepada kita, mentadbir alam dan segala-galanya milik Allah.Firman Allah S.W.T: " Hanya Engkau jualah ya Allah S.W.T yang kami sembah dan Engkau jualah ya Allah S.W.T yang kami minta pertolongan. ( Surah al-Fatihah ayat:5 ).




Rujukan :
Abdul Hadi Awang, 1995. Sistem Pemerintahan Negara Islam. Dewan Muslimat Sdn.Bhd.
Afzalur Rahman, 2002. Ensiklopedia Sirah Jilid VII. Dewan Bahasa dan Pustaka.
A.Rahman I.Doi, 1992. Orang Bukan Islam di Bawah Undang-undang Syariah. Dewan Bahasa Pustaka.
A.Rahman Ritonga & Zainuddin, 1997. Fiqh Ibadah. Gaya Media Pratama. Jakarta Indonesia.
Hedaya Hartford, 2002. Merancang dan Memelihara Perkahwinan dalam Islam. Blue Nile Pulishing.
Haron Din, 2000. Manusia dan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haron Din, 2002. Manusia dan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka.
M.Abdai Rathomy, 1994. Riyadhus Shalihin (Taman orang-orang salih), Imam Nawawi. Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura.
Mahmood Zuhdi, 1997. Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia. Penerbit Universiti Mala Mustafa Daud, 1995. Konsep Ibadah Menurut Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noor Naemah, 1999. Sistem Ibadat Islam. Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Ruzian Markom, 2004. Apa itu Undang-undang Islam. Pts Publications & Distributors Sdn.Bhd.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, 1983. . Al’Ubudiyah, Hakikat penghambaan manusia kepada Allah. Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura.
Wahbah al-Zuhaili, 1996. Fiqh & Perundangan Islam Jilid I. Dewan Bahasa dan Pustaka

0 comments: