Wednesday, June 17, 2009

Menjadi Golongan Bekerja, Bukan Banyak Cakapnya

Menjadi Golongan Bekerja, Bukan Banyak Cakapnya


ادْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيْلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِيْنَ

“Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabbmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl: 125)


“…Wahai pemuda, seandainya kamu meyakini fikrah kami dan kamu mengikuti jejak langkah kami dan kamu bersama kami di atas jalan Islam yang murni ini, kamu tinggalkan segala fikrah kecuali fikrah Islam dan kamu waqafkan segala tenaga dan usaha kamu untuk ‘aqidah yang kamu yakini ini, maka semua itu akan mendatangkan kebaikan untukmu di dunia dan di akhirat. Allah akan membuktikan kepadamu apa yang telah dibuktikan kepada generasi Islam yang pertama dahulu. Setiap orang yang bekerja dengan penuh ikhlas dan setia dalam medan da’wah ini akan mendapati sesuatu yang mengisi hemah dan cita-citanya. Ia akan mendapati sesuatu yang mengisi segala daya dan tenaga yang ada padanya. Tetapi sekiranya kamu enggan dan memilih sikap yang serba salah dan tidak jelas terumbang ambing di antara seruan-seruan dan kefahaman yang mengecewakan dan menyesatkan, maka sesungguhnya angkatan Islam dan tentera-tentera Allah akan meneruskan perjalanan mereka tanpa mengira bilangan sama ada sedikit atau ramai….”
(Hassan Al-Banna)


Tajarrud Kita : Hanyalah Pada Islam, Bukan Pada Kelompok Tertentu

Setiap dai yang mengakui bahawa dia adalah pewaris kepada risalah yang ditinggalkan Rasulullah, mereka wajib ada fikrah yang jelas, tidak bercampur-baur dengan unsur jahiliyyah. Dakwah kita tidak beriman kepada individu tertentu. Dakwah kita juga tidak beriman kepada kelompok-kelompok tertentu. Sekiranya kelompok atau individu tersebut melakukan kesalahan yang fatal, maka wajiblah bagi kita meninggalkannya kerana tajarrud kita hanyalah pada Islam. Tajarrud kita bukanlah menafikan kebaikan yang ada pada gerakan Islam lain. Selagi mana gerakan Islam lain membawa cebisan risalah nubuwwah dan bertepatan dengan sunnah, maka wajiblah kita mengiktiraf mereka. Dakwah kita juga tidak boleh menjadi penghalang kepada gerakan dakwah lain sebagaimana Al-Ikhwanul Muslimun tidak berhak dan tidak boleh menafikan kewujudan serta usaha-usaha dakwah yang dibawa oleh Jamaat Islami, Tabligh atau sebagainya kerana kebenaran itu hanyalah pada Allah dan Rasul-Nya. Jangan pula kerana kita merasakan diri kita sahaja yang betul, kemudian kita menolak segala kebaikan yang dibawa oleh orang lain. Kita memahami manhaj dakwah yang berbeza atas rahmat Allah, bukan kerana takabbur, atau ego masing-masing yang ingin menegakkan bendera sendiri. Dalam masalah fiqhiyyah sekalipun, sudah pasti akan adanya perbezaan pendapat dalam memahami ayat-ayat Allah. Tidak mungkin kita memaksa mereka yang bermazhab Maliki untuk tunduk dan patuh kepada mereka yang bermazhab Syafi’e semata-mata hanya atas isu “kesatuan”. Tidak mungkin wujud kesatuan ini melainkan adanya khalifah yang memerintah bumi Allah. Namun, usaha-usaha untuk ke arah menyatukan semua ini haruslah dijalankan. Selagi mana ruang perbezaan itu dapat dikecilkan, selagi itulah kita wajib berusaha ke arah itu. Dalam masalah dakwah pula, sudah pastinya wujud pelbagai ijtihad, pendapat, dan pemahaman mereka yang berbeza dalam memahami manhaj taghyir yang dibawa Rasulullah SAW.

Sebab itulah ianya dinamakan “Fiqh Ad-Dakwah”. Wujudnya mazhab-mazhab dakwah sebagaimana seruan Islah Syeikh Muhammad Ibn Abd.Wahhab, Syeikh Muhammad Abduh, Rasyid Redha, Jamaluddin Al-Afghani, Pak Hassan, Pak Maududi menunjukkan bahawa kepelbagaian ini merupakan satu rahmat dari Allah kepada penyeru dakwah-Nya. Kita tidak berhak memaksa para pengikut ikhwani untuk tunduk patuh menyerahkan diri mereka kepada para pengikut tabligh sedangkan methodology serta pembawakan mereka adalah jauh berbeza. Prinsip dakwah keduanya besar kemungkinan ada persamaannya, namun, wasilah, cara, indhibat, methodology, kerja-kerja kolektif,takhtit, qawaid amal mussasi yang mereka perjuangkan pastinya wujud perbezaan. Sekiranya kita memaksa para ikhwani untuk tunduk dengan alasan “kesatuan” namun, kerja-kerja dakwah yang mereka fahami tidak selari dengan apa yang difahami para pengikut tabligh menyebabkan mereka lebih banyak berdiam tanpa melaksanakan amal dakwah, maka kesatuan ini merupakan suatu kebatilan yang sangat nyata. Kita juga tidak boleh menggadaikan nilai ukhuwwah sesama muslim walaupun individu yang kita kenali ini baru sahaja kita jumpa beberapa saat yang lalu. Kita juga tidak boleh menegakkan bendera kita masing-masing semata-mata cintanya kita kepadanya namun kita menggadaikan hak-hak yang sepatutnya kita tunaikan sebagai seorang muslim. Hak ukhuwwah adalah lebih dahulu perlu diutamakan berbanding perkara-perkara lain. Berukhuwwahlah dan hiduplah kita sebagai seorang Muslim yang faham, bukan seorang penganut semata.

0 comments: