Monday, August 24, 2009

Program Kemasyarakatan KBS Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Putatan








Sunday, August 23, 2009

Tujuh tingkat neraka sedia hukuman setimpal kesalahan


Tujuh tingkat neraka sedia hukuman setimpal kesalahan
Oleh Muhamad Rozi Hassan


NERAKA berasal perkataan Ibrani bermaksud unggun api menjadi tempat seksaan Allah yang dikhususkan untuk golongan ingkar kepada perintah-Nya ketika di dunia.

Di neraka, orang kafir termasuk golongan yang ingkar perintah Allah diseksa sebagai pembalasan seperti dijanjikan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman jagalah dirimu, keluargamu daripada api neraka. Bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Sedangkan penjaganya adalah malaikat yang gagah lagi bengis. Mereka tidak menderhaka Allah, mereka melakukan apa saja yang diperintahkan kepadanya.” (Surah At-Tahrim: 6)
Api neraka berjuta kali panasnya berbanding api di dunia. Jika api itu jatuh ke bumi, walaupun sebesar hama, hancur lebur dunia ini. Itulah kepanasan api neraka yang tiada tolok bandingnya.

Tujuh nama neraka menanti golongan yang mendustai dan mengingkari perintah Allah SWT. Pembahagian tingkatan neraka menurut Syeikh Dahak Al-Ahbar yang kemudian dipersetujui ahli tafsir dan Usuluddin, antaranya Syeikh Qurthubi dan Imam Al-Ghazali ialah:

l Neraka Jahanam. Tingkat teratas. Neraka ini bermula dari tingkat paling atas sehingga ke terakhir (bawah). Ia seburuk-buruknya dan penghuni kekal di dalamnya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Katakan kepada orang kafir; nanti kamu akan dikalahkan oleh orang Islam dan dihimpunkan kamu dalam Neraka Jahanam. Di sanalah tempat seburuk-buruknya.” (Surah Al-Imran:12)

Begitu juga dalam surah An Nisa, ayat 169, Allah SWT berfirman: “Orang kafir dan orang aniaya, mereka tidak diampunkan Allah dan tidak pula ditunjukkan jalan melainkan ke Neraka Jahanam. Mereka kekal dalam neraka itu selamanya. Yang demikian itu mudah sekali bagi Allah”.

l Luza adalah tingkat kedua yang dihuni pendusta agama Allah dan berpaling daripada ajarannya. Firman Allah bermaksud: “Sebab itu Kami beri khabar menakut kamu dengan Neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya melainkan orang celaka, iaitu orang mendustakan agama dan berpaling daripadanya.” (surah Al-Lail: 14-16)

l Hathamah ialah neraka tingkat ketiga tempat mereka yang lalai dalam mengerjakan perintah Allah kerana dipengaruhi harta dunia.
l Sair ialah tingkat ke empat neraka dihuni mereka yang makan harta anak yatim. Mata dan telinga mereka menjadi buta dan pekak manakala kulitnya tebal seperti Jabal Uhud.

l Saqru ialah neraka tingkat kelima, antara penghuninya ialah orang tidak bersolat, percaya kepada perkara bidaah, tidak memberi makan orang miskin dan tidak percaya kepada Hari Pembalasan.

l Jahim neraka tingkat keenam. Penghuninya melakukan dosa besar seperti berzina, membunuh, mendustai agama Allah dan minum arak.

l Hawiyah ialah neraka paling bawah menempatkan orang memusuhi Nabi. Walaupun neraka ini paling bawah, apinya sangat panas. Firman Allah SWT bermaksud: “Siapa yang ringan timbangan, dia dilemparkan ke Neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah Neraka Hawiyah? Ia adalah api yang sangat panas. ” (surah Al-Qariah: 8-11).

Wednesday, August 19, 2009

Mempersiapkan diri menghayati Ramadan


Oleh Nik Salida Suhaila
RAMADAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa.”

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: “Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup”.
Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

4 Imam dalam sunnah al-Jamaah

Al Imam Abu Hanifah Rahimahullah
Latar Belakang
• Nukman b Tsabit rahimahullah
• Lahir: Kufah, Iraq, 80H
• Bapa: Keturunan Parsi
• Gelaran: Kerana anak lelakinya bernama Hanifah.
Hanifah bererti orang taat dan ahli ibadat
Dalam bahasa Parsi bermaksud dakwat
• Meninggal dunia: Baghdad, Rejab 150H, 70 tahun

Sifat Peribadi
• Mulia, bercita-cita tinggi, berani dan pintar
• Petah becakap, pendiam, wara’, peramah, tenang, sabar, berpakaian bersih dan kemas
• Hartawan, berilmu, kuat ibadat, dermawan, amanah, zuhud
• Ahli perundangan digelar al Imam al A’zam

Pendidikan
• Pendidikan sempurna sehingga peringkat tinggi. Diberikan kemudahan oleh bapanya yang kaya
• Menumpukan minat lebih kepada fiqh dan perundangan Islam
• Berguru dengan ulama sezamannya termasuk para sahabat dan tabiin

Sumbangan
• Penulisan
al Fiqhu al Akbar
Kitab al Faraidh
Masailu al Usul
al Jamiu al Kabir, al Jamiu as Shaghir
Kitab al Mabsut
As Sairu al Kabir, as Sairu as Shaghir
• Pengasas Mazhab
Mazhab Hanafi. Banyak menggunakan qias dalam sumber hukum
• Pemikiran
Kemukakan kaedah penyelesaian masalah terutamanya qias
Melarang bertaqlid kepadanya jika tidak tahu asal pendapatnya
Berijtihad apabila sesuatu hukum tiada dalam al Quran, as Sunnah dan fatwa sahabat
Melarang umat Islam beramal dengan perkara bidah
• Murid

Ketokohan
• Pintar mengeluarkan hukum
• Gunakan akal untuk membuat kesimpulan
• Menyelesaikan masalah dengan memberi fatwa
• Berdikari dan tidak tamak

Al Imam Malik Rahimahullah
Latar Belakang
• Malik bin Anas b Amir al Asbahi
• Lahir: Madinah, 93H
• Meninggal dunia: 179H, 86 tahun, Perkuburan Baqi’

Sifat Peribadi al Imam Malik
• Hormati ibu bapa, orang dewasa dan guru
• Sopan santun, suka menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah ke kubur
• Pendiam, hanya bercakap perkara berfaedah sahaja
• Berpakaian bersih, kemas dan memakai bauan yang harum
• Pemurah, dermawan, suka memberi pertolongan
• Suka bergaul dengan semua lapisan masyarakat

Pendidikan
• Hafaz seluruh al Quran sebelum baligh
• Pelajari hadis, menjadi tokoh hadis dan ahli hukum terkenal
• Dalami ilmu pengajian fiqh dengan mengkaji pendapat ulama berlainan aliran
• Tinggal dengan gurunya beberapa tahun mempelajari ilmu agama

Ketokohan dan Pendirian
• Diiktiraf sebagai ulama ketika 17 tahun
• Majlis ilmunya mendapat sambutan menggalakkan
• Menentang bidah dan taqlid dengan pegangan al Quran dan as Sunnah
• Sedia mengaku tidak tahu jika tidak yakin dalam berfatwa
• Menolak jawatan ketua hakim kerana tidak sesuai dengan dirinya

Sumbangan al Imam Malik
• Penulisan
Kitan al Muwatta’. Sumber rujukan bidang hadis dan fiqh
• Pengasas mazhab maliki
Terkenal sebagai mazhab aliran hadis, pegangannya banyak dengan al Quran dan hadis
• Murid
As Syafie
Al Imam as Syafie Rahimahullah
Latar Belakang
• Muhammad b Idris b Usman al Abbas b Usman Syafi’ b as Saib
• Keturunan Quraisy, berhubungan dengan Rasulullah, ibu bapa berasal dari Mekah
• Lahir: Ghazah, Palestin, 150H, bapanya sudah meninggal dunia
• Digelar as Syafie sempena nama moyangnya
• Meninggal dunia: 204H, Mesir, 54 tahun

Sifat Peribadi
• Fasih bercakap, suara menarik dan qari yang masyhur
• Berakhlak mulia, kuat ingatan, berhemah tinggi
• Pelihara adab dan disiplin

Pendidikan
• Telah hafaz al Quran ketika 9 tahun
• Diiktiraf menjadi guru di Masjidil Haram dan mengeluarkan fatwa ketika 15 tahun
• Mengutip kertas yang dibuang untuk mencatat pelajaran kerana miskin
• Menghafaz al Muwatta’ sebelum mempelajarinya
• Belajar fiqh, al Quran, hadis dan lain-lain

Perkembangan Mazhab as Syafie
• Jalan tengah anatara aliran mazhab ar Ra’yu dan mazhab ahli hadis
• Ada dua pendapat, Qaul Qadim (di Mekah dan Madinah), Qaul Jadid (di Mesir)
• Di Mesir, mengembangkan pengajaran secara meluas sehingga ramai murid yang turut menyebarkan ke luar Mesir

Faktor Perkembangan Mazhab as Syafie di Asia Tenggara
• Dakwah
Pendakwah dari Tanah Arab bermazhab Syafie melalui pengajian
• Perdagangan
Menjalankan perdagangan sambil menyebarkan Islam
• Pusat Pengajian
Seperti pondok dan pesantren yang diasaskan ulama bermazhab Syafie
Dasar Pengambilan Hukum
• Al Quran
• As Sunnah
• al Ijma’
• Qias

Sumbangan al Imam as Syafie
• Pengasas Mazhab
• Hasil Kerja
Ar Risalah
Al Umm
al Musnad
Ikhtilaful Hadis
Kitab al Fiqh
al Jami’ al Kabir
• Murid
al Imam Ahmad bin Hanbal
Al Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah
Latar Belakang
• Ahmad bin Muhammad bin Hanbal
• Lahir: Baghdad, Iraq, 164H, zaman Khalifah Abbasiah
• Panggilan: Hanbal untuk menghormati keturunannya
• Meninggal dunia: 241H, Baghdad, 77 tahun

Sifat Peribadi
• Suka berpakaian putih bersih dan kemas
• Peribadi mulia, rendah diri, pendiam, kuat memelihara maruah dan agama
• Suka bergaul dengan faqir miskin, berani dan tegas pendirian membela kebenaran
• Bertaqwa, kuat beribadah, khatam al Quran tujuh malam sekali, solat sunat 300 rakaat sehari
• Zuhud, wara’, pemurah, berhemah tinggi

Pendidikan
• Membawa dakwat dan kertas ke mana sahaja
• Telah hafaz al Quran dan hadis sejak kecil
• Pendidikan awal di pusat ilmu Baghdad sehingga menjadi ulama terkemuka
• Terpaksa bekerja menampung pengajiannya

Ketokohan al Imam Ahmad dalam Bidang Hadis
• Gigih menyelidiki sumber dan kebenaran hadis
• Sanggup mengembara beberapa bulan untuk menyelidiki satu / dua hadis
• Diakui sendiri oleh al Imam as Syafie
• Memuliakan kuliah hadis ketika 40 tahun

Sumbangan al Imam Ahmad bin Hanbal
• Hadis
Menyusun hadis dengan tersusun dan rapi dan teliti
• Pengasas Mazhab
Digelar ahli Sunnah kerana mengutamakan al Quran dan as Sunnah. Larang bertaqlid dalam agama
• Penulisan
Tafsir al Quran
al Musnad
Kitab an Nasikh wa al Mansukh
Kitab Taati ar Rasul
Kitab al Ilal
al Manasik al Kabir
al Manasik as Shaghir
• Murid al Imam Ahmad
al Imam al Bukhari
al Imam Muslim
al Imam Abu Dawud
Dasar Hukum Mazhab
• Al Quran
• as Sunnah
• Fatwa sahabat
• Hadis dhaif yang boleh dinaikkan kepada hasan
• Qias

Tuesday, August 11, 2009

22 perkara adab, petua membaca al-Quran


Berikut adalah adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang saya dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:

Berniat ikhlas kerana Allah SWT. Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.

Membaca dalam keadaan berwuduk. Mengadap ke arah kiblat. Memulakan dengan at-Ta'awwuz. l Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat. Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring - Ihya` Ulumiddin. Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan. Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.

Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting. Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan. Beramal dengan ajaran al-Quran itu. Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” - (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim).Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya. Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu. Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa. Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas. Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.

Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad. Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi. Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata. Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.