Saturday, October 31, 2009

Gelaran haji atau hajah biarlah mabrur, bukan untuk bermegah-megah


Lambaian Kaabah: Membersihkan diri sebelum berangkat ke Tanah Suci
Oleh Abdul Razak Idris

Gelaran haji atau hajah biarlah mabrur, bukan untuk bermegah-megah

SERUAN haji bergema lagi, tanda musim haji sudah bermula. Ibadah haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat ulil amri dan pihak berkuasa Arab Saudi menjadi medan penuh ujian dalam mematuhi rukun wajib haji. Menunaikan haji bukan perjalanan yang mudah bagi Muslim yang membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada kehidupannya dihabiskan dengan melakukan dosa dan culas memburu pahala sama ada wajib atau sunat.

Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi 'haji sangkut' yang hanya dipakai hingga hembusan nafas terakhir.

Gelaran haji yang dibawa bersama setelah selesai ibadah di bumi Makkah akan menjadi kenangan abadi dan diingati bukan saja oleh diri kita sendiri malahan orang yang menghantar kita pergi dulu dan orang yang menyambut kita pulang. Bagi setiap bakal haji yang sedang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus 'membersihkan' diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati dan berpotensi tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita.

Sebagai seorang Muslim yang berada dalam zaman ekonomi tidak menentu, kesempatan untuk menunaikan fardu haji atau umrah bukan perkara mudah. Selain kos mengerjakan haji tinggi, kos untuk waris dan tanggungan yang ditinggalkan turut perlu difikirkan juga. Jika tidak akan timbul pula fitnah orang mengatakan langkah kita mengejar akhirat mencicirkan dunia yang juga kewajipan kita. Sebaiknya bakal haji menyelesaikan segala hutang dan belanja tanggungan sebelum meneruskan cita-cita menyahut seruan haji di Makkah. Gelaran haji yang bakal diraih akan kelak menjadi suatu gelaran sinis yang akan memalukan diri kita sendiri.

Jika boleh biarlah gelaran haji yang dianugerahkan kepada kita kerana mendapat haji mabrur tanpa memerlukan kita apabila pulang dari tanah suci terpaksa membayar hutang keliling pinggang sedang kita semua tahu bahawa salah satu syarat haji ialah berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.

Membawa pulang gelaran haji atau hajah biarlah tanpa kontroversi atau isu yang mampu membuatkan gelaran yang menjadi idaman semua umat Islam di seluruh dunia itu dipertikaikan. Jangan pula apabila balik dari haji, perangai buruk sebelum menjejak kaki ke sana diulangi. Atau setelah mendapat gelaran haji sikap angkuh dan bangga diri menjadi hiasan diri. Lebih buruk lagi jika ada yang mempunyai gelaran haji tidak berubah langsung sikap buruk mereka malahan lebih teruk apabila pulang dari Tanah Suci sikap buruk baru pula tercipta.

Bukankah ia memalukan agama Islam yang syumul ini. Kita takut ada orang Islam sendiri yang akan merasakan gelaran haji adalah lesen untuk mendapat kemegahan dan bukannya menjadi motivasi untuk yang masih belum menjejakkan kaki bertawaf mengelilingi di setiap empat penjuru Kaabah.

Sikap dan pekerti sebagai Muslim yang memegang gelaran haji perlu diubah dari buruk menjadi baik, dari cantik lebih indah budi dan sikahnya. Bagi yang bersifat bakhil tidak bertempat, singkirkan sikap yang tidak baik itu, bagi yang bersikap keras selama ini lembut-lembutkan sedikit adab kita dengan pekerja atau pihak yang berhubung dengan kita. Cara kita bertindak adalah datang dari cara kita berfikir dan cara kita berfikir datang dari hati kita yang suci dan bersih dari syak dan wasangka sama ada sesama Islam dan bukan Islam.

Jika boleh dikatakan seorang haji sepatutnya membawa imej seorang Muslim yang lengkap sebagai seorang Muslim sejati. Sesungguhnya dirinya telah lulus ujian sebagai Muslim yang memenuhi lima rukun Islam.

Justeru menunaikan haji bukan sekadar mengejar gelaran yang tidak akan memberi manfaat jika disalahgunakan atau disalah pembawaannya. Haji adalah gelaran yang perlu dibawa hingga ke liang lahad dan biarlah pahala kita menunaikan haji itu berpanjangan hingga kita dipanggil Yang Maha Esa di satu hari di mana kita tidak mampu untuk berkata-kata melainkan ibadah kita di dunia ini yang akan menilai kita dan gelaran kita.

Ingatlah bahawa seruan haji bukan saja bergema sebelum dan semasa kita di tanah suci saja, ia adalah seruan yang perlu diingati hingga kita selesai menunaikan rukun haji dan di saat liang lahad terpateri dengan tanah dan hanya gelaran haji dan nama kita yang ditinggalkan. Jadilah haji yang dimuliakan dan bukan sebaliknya.

Monday, October 26, 2009

Generasi muda buta agama mudah dipesong


Tajdid Iman: Generasi muda buta agama mudah dipesong
Oleh Dr Juanda Jaya

GENERASI muda perlu dididik dan didedah dengan ilmu agama secukup supaya mereka tidak terpengaruh persekitaran yang tidak Islamik.

Syor wujud dialog ilmiah bersifat kasih sayang bukan menghukum untuk selesai masalah

BUTA agama dan rabun dunia, kedua-duanya akan berakhir dengan kegagalan dunia akhirat. Generasi Islam yang membesar tanpa ilmu dan maklumat agama yang sahih akan mudah dipengaruhi pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam. Lihatlah kebebasan bersuara di alam siber, mereka mempersoalkan pengharaman arak, zina, judi, syirik dan sebagainya yang jelas dalilnya di dalam al-Quran dan Sunnah. Boleh jadi selepas ini mereka akan mempersoalkan tidak wajibnya sembahyang lima waktu atau puasa dan zakat mengikut kebebasan berfikir yang diagungkan generasi pintar berfalsafah ini.

Mereka lahir dari rahim wanita Islam yang memahami agama secara tradisi, kemudian ia berkembang mengikut rangsangan persekitaran yang membentuk pemikiran dan perasaan. Jika mereka disentuh dengan al-Quran dan Sunnah yang sempurna maka tidaklah mudah pemikiran jahiliah yang bertopengkan kebebasan akal mempengaruhi hati dan jiwa yang memang sebati dengan agama.

Tetapi, jika pendedahan agama terbatas, setakat belajar membaca muqaddam dan sekali seumur hidup khatam al-Quran kemudian tidak dilanjutkan dengan pencarian maklumat Islam sahih, akhirnya generasi Islam ini terpaksa beradaptasi dengan persekitaran yang tidak Islamik. Persekitaran jahiliah moden itu secara tidak langsung membentuk pemikiran baru yang mula menafikan sentuhan Islam tradisi yang diajarkan orang tua mereka. Mengapakah keadaan sebegini terjadi sehingga melemahkan semangat agama dalam jiwa generasi baru?

Adakah kerana kesilapan orang tua menyemai keindahan Islam di sanubari kita? Atau sistem pendidikan yang tidak menyebelahi agama dan terlalu hebat mengagungkan ilmu mengurus dunia saja? Pada hal kesempurnaan insan bergantung dengan kebijaksanaannya mengurus dunia dan akhirat tanpa melebihkan satu dari yang lain. Ilmu menjadi teras keimanan seseorang, agama ini menyanjung setinggi-tingginya usaha meneroka khazanah ilmu duniawi dan ukhrawi tanpa membeza-bezakan satu dengan yang lain.

Generasi Islam yang buta agama tapi celik IT, pakar ekonomi, peneraju politik, ahli astronomi, pencetus teknologi nuklear dan persenjataan canggih dikhuatiri mencampakkan terus nilai Islam dari pemikiran dan pendiriannya kerana menganggap agama memandulkan usaha kemajuan, membelenggu kebebasan berfikir dan membius akal dengan angan-angan akhirat yang tidak nyata sifatnya. Akhirnya mereka mengadaptasikan ilmu yang dimiliki untuk kepuasan peribadi, menonjolkan kehebatan melalui persaingan haiwan yang membunuh terus nilai kemanusiaan.

Semua pendedahan agama yang diusahakan orang tua secara tradisi tidak mampu membendung lonjakan protes yang ditunggangi faham kebebasan berfikir untuk mempersoalkan hukum hakam agama yang bagi mereka cukup merimaskan gaya hidup mereka. Malangnya orang yang memiliki ilmu agama pula tidak mampu menjawab dan mendedahkan kesilapan generasi buta agama ini, ada yang terus memfatwa kafir dan memilih pendekatan menyerang, bukan berdialog dengan hikmah dan mau'izah hasanah (cara yang baik).

Pada hal semangat agama ini terletak pada unsur kasih sayang dan khabar gembira melebihi ancaman sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkan ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." � (Surah Ali Imran: 159)

Akhirnya generasi buta agama ini tidak lagi menghormati ulama konservatif yang membenci mereka dan menambahkan lagi ketidakpercayaan mereka terhadap agama sendiri. Dalam pada itu datanglah gelombang pemikiran bebas yang cuba menghentam Islam, sikap umat Islam yang bermasalah dijadikan dalil bahawa agama itu bermasalah. Negara Islam mundur yang dipersalahkan ajaran Islamnya, lelaki Muslim kahwin cerai sesuka hati, dituduh Islam yang menghalalkannya, pengeboman yang didalangi pengganas Muslim dijadikan dalil kekejaman ajaran Islam. Kalau yang mengganas orang Nasrani dan Yahudi pula langsung tidak timbul isu agama mereka ganas dan kalau yang miskin itu di negara bukan Islam tidak pula agama mereka dikatakan kolot.

Generasi Islam sudah mengalami bermacam-macam ujian yang secara tidak langsung melunturkan warna Islam sebenar dari pemikiran dan perasaan mereka. Cubaan indoktrinasi fahaman sesat cebisan dari kumpulan Islam yang menyeleweng dari al-Quran dan Sunnah kemudian usaha orientalis yang meracuni sejarah Islam, propaganda fahaman sosialis komunis, kapitalis dan liberal yang cuba memomokkan Islam. Semua itu memberi impak yang cukup dahsyat dalam melunturkan kecintaan generasi Islam kepada agamanya.

Tidak hairan jika seorang sosialis Muslim akan lahir seramai kapitalis Muslim di seluruh dunia yang langsung mengetepikan ajaran Islam dari kehidupan. Generasi ini bernafas dengan nafas Karl Marx walau nama depannya Muhammad atau menyokong idea kebebasan Barat walau harus menginjak al-Quran dan Sunnah. Ke manakah arah tuju umat ini? Apakah identiti mereka tetap kekal walaupun pemikiran dan perjuangan jelas menyokong fahaman kuffar?

Belum terlambat untuk kembali kepada Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Kembali kepada asal dan lupakan kecelaruan iman akibat terikut-ikut dan berbangga-bangga dengan fahaman yang menyimpang dari jalan Sunnah. Pelajari fakta dan data Islam yang mencakupi ilmu tafsir al-Quran, hadis, aqidah, fekah, sejarah dan maklumat perkembangan Islam yang sahih. Setiap Muslim bukan diwajibkan membaca saja tetapi bertanggungjawab menjadikan ilmu Islam sebagai penyelesaian terhadap persoalan hidup manusia.

Untuk itu diperlukan dialog ilmiah yang bersifat kasih sayang antara ulama dan umat kerana agama ini bukan penghukum tetapi penyelesai masalah manusia. Kekuatan orang alim bergantung dengan kukuhnya penguasaan ilmu mereka dan tanggungjawab peribadi sebagai ulama pewaris Nabi, penyelesai masalah umat bukan merabunkan Islam dari pandangan generasi baru dengan sikap membenci dan menghukum.

Thursday, October 15, 2009

Mengingati mati boleh beri keinsafan, tingkat amal ibadat


Mengingati mati boleh beri keinsafan, tingkat amal ibadat
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SEMUA makhluk ciptaan Allah SWT tidak akan kekal selama-lamanya. Apabila tiba masanya, semuanya akan mati yang menandakan berakhirnya sebuah riwayat kehidupan, hanya Allah SWT yang akan kekal abadi selamanya. Firman Allah SWT, "Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" (An-Nisa': 78)

Biarpun pelbagai usaha dibuat terutama oleh mereka yang mempunyai kemudahan kewangan untuk mengelakkan bertemu dengan kematian, semua usaha tidak akan ke mana. Sebenarnya kita hanya menunggu giliran untuk dicabut nyawa oleh malaikat suruhan Allah SWT. Persoalannya bila, di mana dan bagaimana.

Ulama membahagikan kematian itu kepada dua, iaitu mati kecil iaitu tidur dan mati besar iaitu mati yang sebenarnya. Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa mengingati mati. Dengan mengingati kematian, sudah pasti setiap kita akan lebih bersiap sedia untuk menempuhinya. Bersedia dalam erti kata melengkapkan roh dan jasad dengan amalan dan ibadat yang banyak.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya sebelum ini aku telah melarang kamu daripada menziarahi kubur dan sekarang ziarahilah. Sesungguhnya dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kamu kepada alam akhirat."

Ibadat sembahyang ada hubung kaitnya dengan ingatan kepada kematian. Setiap kali menunaikan ibadat solat, sekurang-kurang dua kali kita menyebut 'Yaumuddin' yang pastinya mengingatkan kita kepada Hari Kiamat, sebuah alam abadi yang bakal dihuni apabila tamatnya riwayat hidup alam fana ini.

Begitu juga sewaktu ketika dibaca doa Iftitah, kita menyebut kalimah 'wamamati'. Ia turut menginsafkan seseorang yang mendirikan solat agar sentiasa mengingati akan kematian. Dari sudut prinsip, kematian adalah suatu hala tuju kehidupan seseorang insan untuk menghargai tubuh badan dan roh yang dikurnia Allah SWT. Dengan rasa penuh tanggungjawab dan iltizam dalam diri, kematian akan membangkitkan kesedaran dan keinsafan untuk seseorang lebih hampir ke sisi Tuhan.

Wujud salah faham di kalangan umat Islam hari ini yang selalunya beranggapan bahawa orang yang lebih lanjut usia, lazimnya akan pergi terlebih dulu untuk menghadap Allah SWT. Salah faham begini bukan saja menafikan keadilan Allah, malah boleh membawa diri seseorang itu untuk berpaling daripada tuntutan agama yang sebenar.

Ramai di kalangan manusia yang lebih muda usianya lebih leka dan alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara kerana beranggapan kemanisan hidup di dunia perlulah dikecapi dengan sepenuh-penuhnya, sebelum tibanya hari tua untuk melengkapkan diri dengan beramal ibadat, sebelum kematian menjengah.

Dalam satu lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda, "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang semakin lanjut usianya semakin baik amal perbuatannya. Sejahat-jahat manusia adalah mereka yang dilanjutkan usianya, tetapi semakin buruk pula amal perbuatannya."

Ibnu Umar pernah berkata, "Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah tetapi kejahatan yang kita buat ketika hidup di dunia, semuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah SWT. Walaupun kita melupakannya, tetapi Allah SWT sekali-kali tidak demikian.

Diceritakan bahawa Lukman Hakim mempunyai seorang anak lelaki yang cukup degil. Beliau terpaksa menempuh kesukaran dan kepahitan hidup untuk mendidik anaknya yang keras hati itu. Banyak usaha dan cara dilakukan untuk mengubah keadaan anaknya itu, tetapi semuanya gagal. Sehinggalah pada suatu ketika Lukman membawa anaknya itu menziarahi kubur setiap kali ada kematian. Lalu, tidak lama kemudian, anaknya itu mula insaf dan sedar akan hakikat sebuah kehidupan yang akan diakhiri dengan kematian.