Saturday, October 31, 2009

Gelaran haji atau hajah biarlah mabrur, bukan untuk bermegah-megah


Lambaian Kaabah: Membersihkan diri sebelum berangkat ke Tanah Suci
Oleh Abdul Razak Idris

Gelaran haji atau hajah biarlah mabrur, bukan untuk bermegah-megah

SERUAN haji bergema lagi, tanda musim haji sudah bermula. Ibadah haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat ulil amri dan pihak berkuasa Arab Saudi menjadi medan penuh ujian dalam mematuhi rukun wajib haji. Menunaikan haji bukan perjalanan yang mudah bagi Muslim yang membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada kehidupannya dihabiskan dengan melakukan dosa dan culas memburu pahala sama ada wajib atau sunat.

Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi 'haji sangkut' yang hanya dipakai hingga hembusan nafas terakhir.

Gelaran haji yang dibawa bersama setelah selesai ibadah di bumi Makkah akan menjadi kenangan abadi dan diingati bukan saja oleh diri kita sendiri malahan orang yang menghantar kita pergi dulu dan orang yang menyambut kita pulang. Bagi setiap bakal haji yang sedang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus 'membersihkan' diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati dan berpotensi tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita.

Sebagai seorang Muslim yang berada dalam zaman ekonomi tidak menentu, kesempatan untuk menunaikan fardu haji atau umrah bukan perkara mudah. Selain kos mengerjakan haji tinggi, kos untuk waris dan tanggungan yang ditinggalkan turut perlu difikirkan juga. Jika tidak akan timbul pula fitnah orang mengatakan langkah kita mengejar akhirat mencicirkan dunia yang juga kewajipan kita. Sebaiknya bakal haji menyelesaikan segala hutang dan belanja tanggungan sebelum meneruskan cita-cita menyahut seruan haji di Makkah. Gelaran haji yang bakal diraih akan kelak menjadi suatu gelaran sinis yang akan memalukan diri kita sendiri.

Jika boleh biarlah gelaran haji yang dianugerahkan kepada kita kerana mendapat haji mabrur tanpa memerlukan kita apabila pulang dari tanah suci terpaksa membayar hutang keliling pinggang sedang kita semua tahu bahawa salah satu syarat haji ialah berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.

Membawa pulang gelaran haji atau hajah biarlah tanpa kontroversi atau isu yang mampu membuatkan gelaran yang menjadi idaman semua umat Islam di seluruh dunia itu dipertikaikan. Jangan pula apabila balik dari haji, perangai buruk sebelum menjejak kaki ke sana diulangi. Atau setelah mendapat gelaran haji sikap angkuh dan bangga diri menjadi hiasan diri. Lebih buruk lagi jika ada yang mempunyai gelaran haji tidak berubah langsung sikap buruk mereka malahan lebih teruk apabila pulang dari Tanah Suci sikap buruk baru pula tercipta.

Bukankah ia memalukan agama Islam yang syumul ini. Kita takut ada orang Islam sendiri yang akan merasakan gelaran haji adalah lesen untuk mendapat kemegahan dan bukannya menjadi motivasi untuk yang masih belum menjejakkan kaki bertawaf mengelilingi di setiap empat penjuru Kaabah.

Sikap dan pekerti sebagai Muslim yang memegang gelaran haji perlu diubah dari buruk menjadi baik, dari cantik lebih indah budi dan sikahnya. Bagi yang bersifat bakhil tidak bertempat, singkirkan sikap yang tidak baik itu, bagi yang bersikap keras selama ini lembut-lembutkan sedikit adab kita dengan pekerja atau pihak yang berhubung dengan kita. Cara kita bertindak adalah datang dari cara kita berfikir dan cara kita berfikir datang dari hati kita yang suci dan bersih dari syak dan wasangka sama ada sesama Islam dan bukan Islam.

Jika boleh dikatakan seorang haji sepatutnya membawa imej seorang Muslim yang lengkap sebagai seorang Muslim sejati. Sesungguhnya dirinya telah lulus ujian sebagai Muslim yang memenuhi lima rukun Islam.

Justeru menunaikan haji bukan sekadar mengejar gelaran yang tidak akan memberi manfaat jika disalahgunakan atau disalah pembawaannya. Haji adalah gelaran yang perlu dibawa hingga ke liang lahad dan biarlah pahala kita menunaikan haji itu berpanjangan hingga kita dipanggil Yang Maha Esa di satu hari di mana kita tidak mampu untuk berkata-kata melainkan ibadah kita di dunia ini yang akan menilai kita dan gelaran kita.

Ingatlah bahawa seruan haji bukan saja bergema sebelum dan semasa kita di tanah suci saja, ia adalah seruan yang perlu diingati hingga kita selesai menunaikan rukun haji dan di saat liang lahad terpateri dengan tanah dan hanya gelaran haji dan nama kita yang ditinggalkan. Jadilah haji yang dimuliakan dan bukan sebaliknya.

Monday, October 26, 2009

Generasi muda buta agama mudah dipesong


Tajdid Iman: Generasi muda buta agama mudah dipesong
Oleh Dr Juanda Jaya

GENERASI muda perlu dididik dan didedah dengan ilmu agama secukup supaya mereka tidak terpengaruh persekitaran yang tidak Islamik.

Syor wujud dialog ilmiah bersifat kasih sayang bukan menghukum untuk selesai masalah

BUTA agama dan rabun dunia, kedua-duanya akan berakhir dengan kegagalan dunia akhirat. Generasi Islam yang membesar tanpa ilmu dan maklumat agama yang sahih akan mudah dipengaruhi pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam. Lihatlah kebebasan bersuara di alam siber, mereka mempersoalkan pengharaman arak, zina, judi, syirik dan sebagainya yang jelas dalilnya di dalam al-Quran dan Sunnah. Boleh jadi selepas ini mereka akan mempersoalkan tidak wajibnya sembahyang lima waktu atau puasa dan zakat mengikut kebebasan berfikir yang diagungkan generasi pintar berfalsafah ini.

Mereka lahir dari rahim wanita Islam yang memahami agama secara tradisi, kemudian ia berkembang mengikut rangsangan persekitaran yang membentuk pemikiran dan perasaan. Jika mereka disentuh dengan al-Quran dan Sunnah yang sempurna maka tidaklah mudah pemikiran jahiliah yang bertopengkan kebebasan akal mempengaruhi hati dan jiwa yang memang sebati dengan agama.

Tetapi, jika pendedahan agama terbatas, setakat belajar membaca muqaddam dan sekali seumur hidup khatam al-Quran kemudian tidak dilanjutkan dengan pencarian maklumat Islam sahih, akhirnya generasi Islam ini terpaksa beradaptasi dengan persekitaran yang tidak Islamik. Persekitaran jahiliah moden itu secara tidak langsung membentuk pemikiran baru yang mula menafikan sentuhan Islam tradisi yang diajarkan orang tua mereka. Mengapakah keadaan sebegini terjadi sehingga melemahkan semangat agama dalam jiwa generasi baru?

Adakah kerana kesilapan orang tua menyemai keindahan Islam di sanubari kita? Atau sistem pendidikan yang tidak menyebelahi agama dan terlalu hebat mengagungkan ilmu mengurus dunia saja? Pada hal kesempurnaan insan bergantung dengan kebijaksanaannya mengurus dunia dan akhirat tanpa melebihkan satu dari yang lain. Ilmu menjadi teras keimanan seseorang, agama ini menyanjung setinggi-tingginya usaha meneroka khazanah ilmu duniawi dan ukhrawi tanpa membeza-bezakan satu dengan yang lain.

Generasi Islam yang buta agama tapi celik IT, pakar ekonomi, peneraju politik, ahli astronomi, pencetus teknologi nuklear dan persenjataan canggih dikhuatiri mencampakkan terus nilai Islam dari pemikiran dan pendiriannya kerana menganggap agama memandulkan usaha kemajuan, membelenggu kebebasan berfikir dan membius akal dengan angan-angan akhirat yang tidak nyata sifatnya. Akhirnya mereka mengadaptasikan ilmu yang dimiliki untuk kepuasan peribadi, menonjolkan kehebatan melalui persaingan haiwan yang membunuh terus nilai kemanusiaan.

Semua pendedahan agama yang diusahakan orang tua secara tradisi tidak mampu membendung lonjakan protes yang ditunggangi faham kebebasan berfikir untuk mempersoalkan hukum hakam agama yang bagi mereka cukup merimaskan gaya hidup mereka. Malangnya orang yang memiliki ilmu agama pula tidak mampu menjawab dan mendedahkan kesilapan generasi buta agama ini, ada yang terus memfatwa kafir dan memilih pendekatan menyerang, bukan berdialog dengan hikmah dan mau'izah hasanah (cara yang baik).

Pada hal semangat agama ini terletak pada unsur kasih sayang dan khabar gembira melebihi ancaman sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkan ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." � (Surah Ali Imran: 159)

Akhirnya generasi buta agama ini tidak lagi menghormati ulama konservatif yang membenci mereka dan menambahkan lagi ketidakpercayaan mereka terhadap agama sendiri. Dalam pada itu datanglah gelombang pemikiran bebas yang cuba menghentam Islam, sikap umat Islam yang bermasalah dijadikan dalil bahawa agama itu bermasalah. Negara Islam mundur yang dipersalahkan ajaran Islamnya, lelaki Muslim kahwin cerai sesuka hati, dituduh Islam yang menghalalkannya, pengeboman yang didalangi pengganas Muslim dijadikan dalil kekejaman ajaran Islam. Kalau yang mengganas orang Nasrani dan Yahudi pula langsung tidak timbul isu agama mereka ganas dan kalau yang miskin itu di negara bukan Islam tidak pula agama mereka dikatakan kolot.

Generasi Islam sudah mengalami bermacam-macam ujian yang secara tidak langsung melunturkan warna Islam sebenar dari pemikiran dan perasaan mereka. Cubaan indoktrinasi fahaman sesat cebisan dari kumpulan Islam yang menyeleweng dari al-Quran dan Sunnah kemudian usaha orientalis yang meracuni sejarah Islam, propaganda fahaman sosialis komunis, kapitalis dan liberal yang cuba memomokkan Islam. Semua itu memberi impak yang cukup dahsyat dalam melunturkan kecintaan generasi Islam kepada agamanya.

Tidak hairan jika seorang sosialis Muslim akan lahir seramai kapitalis Muslim di seluruh dunia yang langsung mengetepikan ajaran Islam dari kehidupan. Generasi ini bernafas dengan nafas Karl Marx walau nama depannya Muhammad atau menyokong idea kebebasan Barat walau harus menginjak al-Quran dan Sunnah. Ke manakah arah tuju umat ini? Apakah identiti mereka tetap kekal walaupun pemikiran dan perjuangan jelas menyokong fahaman kuffar?

Belum terlambat untuk kembali kepada Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Kembali kepada asal dan lupakan kecelaruan iman akibat terikut-ikut dan berbangga-bangga dengan fahaman yang menyimpang dari jalan Sunnah. Pelajari fakta dan data Islam yang mencakupi ilmu tafsir al-Quran, hadis, aqidah, fekah, sejarah dan maklumat perkembangan Islam yang sahih. Setiap Muslim bukan diwajibkan membaca saja tetapi bertanggungjawab menjadikan ilmu Islam sebagai penyelesaian terhadap persoalan hidup manusia.

Untuk itu diperlukan dialog ilmiah yang bersifat kasih sayang antara ulama dan umat kerana agama ini bukan penghukum tetapi penyelesai masalah manusia. Kekuatan orang alim bergantung dengan kukuhnya penguasaan ilmu mereka dan tanggungjawab peribadi sebagai ulama pewaris Nabi, penyelesai masalah umat bukan merabunkan Islam dari pandangan generasi baru dengan sikap membenci dan menghukum.

Thursday, October 15, 2009

Mengingati mati boleh beri keinsafan, tingkat amal ibadat


Mengingati mati boleh beri keinsafan, tingkat amal ibadat
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SEMUA makhluk ciptaan Allah SWT tidak akan kekal selama-lamanya. Apabila tiba masanya, semuanya akan mati yang menandakan berakhirnya sebuah riwayat kehidupan, hanya Allah SWT yang akan kekal abadi selamanya. Firman Allah SWT, "Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" (An-Nisa': 78)

Biarpun pelbagai usaha dibuat terutama oleh mereka yang mempunyai kemudahan kewangan untuk mengelakkan bertemu dengan kematian, semua usaha tidak akan ke mana. Sebenarnya kita hanya menunggu giliran untuk dicabut nyawa oleh malaikat suruhan Allah SWT. Persoalannya bila, di mana dan bagaimana.

Ulama membahagikan kematian itu kepada dua, iaitu mati kecil iaitu tidur dan mati besar iaitu mati yang sebenarnya. Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa mengingati mati. Dengan mengingati kematian, sudah pasti setiap kita akan lebih bersiap sedia untuk menempuhinya. Bersedia dalam erti kata melengkapkan roh dan jasad dengan amalan dan ibadat yang banyak.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya sebelum ini aku telah melarang kamu daripada menziarahi kubur dan sekarang ziarahilah. Sesungguhnya dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kamu kepada alam akhirat."

Ibadat sembahyang ada hubung kaitnya dengan ingatan kepada kematian. Setiap kali menunaikan ibadat solat, sekurang-kurang dua kali kita menyebut 'Yaumuddin' yang pastinya mengingatkan kita kepada Hari Kiamat, sebuah alam abadi yang bakal dihuni apabila tamatnya riwayat hidup alam fana ini.

Begitu juga sewaktu ketika dibaca doa Iftitah, kita menyebut kalimah 'wamamati'. Ia turut menginsafkan seseorang yang mendirikan solat agar sentiasa mengingati akan kematian. Dari sudut prinsip, kematian adalah suatu hala tuju kehidupan seseorang insan untuk menghargai tubuh badan dan roh yang dikurnia Allah SWT. Dengan rasa penuh tanggungjawab dan iltizam dalam diri, kematian akan membangkitkan kesedaran dan keinsafan untuk seseorang lebih hampir ke sisi Tuhan.

Wujud salah faham di kalangan umat Islam hari ini yang selalunya beranggapan bahawa orang yang lebih lanjut usia, lazimnya akan pergi terlebih dulu untuk menghadap Allah SWT. Salah faham begini bukan saja menafikan keadilan Allah, malah boleh membawa diri seseorang itu untuk berpaling daripada tuntutan agama yang sebenar.

Ramai di kalangan manusia yang lebih muda usianya lebih leka dan alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara kerana beranggapan kemanisan hidup di dunia perlulah dikecapi dengan sepenuh-penuhnya, sebelum tibanya hari tua untuk melengkapkan diri dengan beramal ibadat, sebelum kematian menjengah.

Dalam satu lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda, "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang semakin lanjut usianya semakin baik amal perbuatannya. Sejahat-jahat manusia adalah mereka yang dilanjutkan usianya, tetapi semakin buruk pula amal perbuatannya."

Ibnu Umar pernah berkata, "Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah tetapi kejahatan yang kita buat ketika hidup di dunia, semuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah SWT. Walaupun kita melupakannya, tetapi Allah SWT sekali-kali tidak demikian.

Diceritakan bahawa Lukman Hakim mempunyai seorang anak lelaki yang cukup degil. Beliau terpaksa menempuh kesukaran dan kepahitan hidup untuk mendidik anaknya yang keras hati itu. Banyak usaha dan cara dilakukan untuk mengubah keadaan anaknya itu, tetapi semuanya gagal. Sehinggalah pada suatu ketika Lukman membawa anaknya itu menziarahi kubur setiap kali ada kematian. Lalu, tidak lama kemudian, anaknya itu mula insaf dan sedar akan hakikat sebuah kehidupan yang akan diakhiri dengan kematian.

Wednesday, September 30, 2009


Menghubungkan silaturahim boleh memperkuatkan ummah
Oleh Aminudin Mansor
AMALAN mulia yang wajib dalam Islam ialah menghubungkan silaturahim. Amalan mulia ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membentuk ummah yang kuat dan utuh. Silaturahim bermaksud perhubungan persahabatan dan persaudaraan sesama Islam. Dalam hubungan ini, diceritakan, Abul Laith al-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Aiyub menurutnya, seorang Badwi menghadang Nabi SAW dan memegang kendali untanya, lalu berkata; “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku apakah amalan yang boleh mendekatkan aku ke syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka?”

Nabi SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud; “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah, dan janganlah mensyirik-Nya dengan sesuatu, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, dan kamu menjalin hubungan silaturahim (terhadap keluarga dan kaum kerabat).” Hubungan silaturahim ini adalah sebagai asas ke arah pembentukan keluarga cemerlang dan bahagia. Melalui hubungan ini keluarga dapat dieratkan dan jangan ada di antaranya yang cuba melakukan perbuatan yang boleh menyinggung ahli keluarga lain.

Selain itu, umat Islam digalakkan berbuat baik kepada jiran yang juga diwajibkan dalam Islam. Jiran yang lebih hampir dengan rumah kita adalah lebih penting kepada kita terutama jika kita mengalami kesusahan dan sakit. Hanya jiran yang paling dekat dapat membantu kita dengan segera. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah berbuat baik kepada jirannya.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, jika kita mengadakan rumah terbuka, dan mengadakan jamuan, atau kenduri kendara, jangan lupa mengutamakan jiran dan keluarga serta saudara-mara kita terlebih dulu, selepas itu barulah sahabat handai, dan lain-lain. Ini juga akan menjalinkan kasih sayang antara ummah terutama pada hari raya atau rumah terbuka yang sering diadakan di bandar dan desa. Hubungan yang baik ini juga akan mengukuhkan ketakwaan, kemesraan dan menjalin hubungan yang baik sesama Muslim. Apa yang lebih penting, bukan hanya jamuan yang dihidangkan. Tetapi jalinan kemesraan, ukhuwah dan persaudaraan dapat dikukuhkan. Dengan jalinan ini, akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.

Thursday, September 24, 2009


Amalan Sunnah Sempena Aidilfitri

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” - Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.

Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” - Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.

Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h.

Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Wednesday, September 16, 2009

Qiyammulai Masjid Al-Hilal



Pada pukul 2.45am bersamaan 17.09.2009 (malam ke 27) masjid Al-Hilal mengadakan Qiyammulai yang dipimpin oleh ustaz DR. Badrul Amin. Kehadiran jemaah pada hari ini amat diluar jangkaan.Makanan bersahur yang ditempah hanya setakat 30 orang, tetapi kehadiran dianggarkan dalam 70-80 orang. Walaubagaimanapun alhamdulillah semua sempat bersahur padapada hari ini. Pihak Jawatankuasa Masjid mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Ulama, ustaz Norazamudin dan rakan-rakan lain yang sama-sama menjayakan program ini.

Sesungguhnya Qiyam kali ini sangat memberi kesan membentuk jiwa rohani, walaupun selama ini hanya mendengar suara Ustaz Badrul Amin melalui kaset cd, kali ini dapat bersama secara live menjadikan ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Antara pesan beliau yang sangat memberi kesan iaitu baca al-Quran setiap hari dan fahami isi kandungannya agar kita dapat menghayati kalam suci Allah.
Semoga Allah dapat mempertemukan kami dim masa akan datang.

Friday, September 11, 2009

Malam Lailatul Qadar

Share
 Wed at 11:53pm
Keutamaannya sangat besar, kerana malam ini menyaksikan turunnya Al-Qur'an Al-Karim, yang membimbing orang-orang yang berpegang dengannya ke jalan kemuliaan dan mengangkatnya ke derajat yang mulia dan abadi. Umat Islam yang mengikuti sunnah Rasulnya tidak memasang tanda-tanda tertentu dan tidak pula menancapkan anak-anak panah untuk memperingati malam ini, akan tetapi mereka berlumba-lumba untuk bangun di malam harinya dengan penuh iman dan mengharap pahala dari Allah. Inilah wahai saudaraku muslim, ayat-ayat Qur'aniyah dan hadis-hadis nabawiyah yang sahih menjelaskan tentang malam tersebut.

Keutamaan Malam Lailatul Qadar

Cukuplah untuk mengetahui tingginya kedudukan Lailatul Qadar dengan mengetahui bahawasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan, Allah berfirman. "Artinya: Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an pada malam Lailatul Qadar, tahukah engkau apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan, pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Allah Tuhan mereka (untuk membawa) segala urusan, selamatlah malam itu hingga terbit fajar." [Al-Qadar : 1-5] 

Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. "Artinya: Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (yaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" [Ad-Dukhan : 3-6]

Waktunya

Diriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa malam tersebut terjadi pada tanggal malam 21, 23, 25, 27, 29 dan akhir malam bulan Ramadhan.(1). Imam Syafi'i berkata: "Menurut pemahamanku. wallahu 'alam, Nabi S.A.W. menjawab sesuai yang ditanyakan, ketika ditanyakan kepada beliau: "Apakah kami mencarinya di malam ini?", beliau menjawab : "Carilah di malam tersebut." (2). 

Pendapat yang paling kuat, terjadinya malam Lailatul Qadar itu pada malam terakhir bulan Ramadhan berdasarkan hadis Aisyah RadhiyAllahu 'anha, dia berkata Rasululah S.A.W. beri'tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan beliau bersabda, "Artinya : Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan"(3). Jika seseorang merasa lemah atau tidak mampu, janganlah sampai terluput dari tujuh hari terakhir, kerana riwayat dari Ibnu Umar, (dia berkata) : Rasululah S.A.W. bersabda, "Artinya : Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya" (4). Ini menafsirkan sabdanya. "Artinya : Aku melihat mimpi kalian telah terjadi, barangsiapa yang mencarinya carilah pada tujuh hari terakhir" (5)

Telah diketahui dalam sunnah, pemberitahuan ini ada kerana perdebatan para sahabat. Dari Ubadah bin Shamit r.a., ia berkata : Rasululah S.A.W. keluar pada malam Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat berdebat, beliau bersabda, "Artinya : Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadar, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak bisa lagi diketahui bilanya; mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain : tujuh, sembilan dan lima)" (6).

Telah banyak hadis yang mengisyaratkan bahawa malam Lailatul Qadar itu pada sepuluh hari terakhir, yang lainnya menegaskan, di malam ganjil sepuluh hari terakhir. Hadis yang pertama sifatnya umum sedang hadis kedua adalah khusus, maka riwayat yang khusus lebih diutamakan dari pada yang umum, dan telah banyak hadis yang lebih menerangkan bahawa malam Lailatul Qadar itu ada pada tujuh hari terakhir bulan Ramadhan, tetapi ini dibatasi kalau tidak mampu dan lemah, tidak ada masalah, dengan ini sesuailah hadis-hadis tersebut tidak saling bertentangan, bahkan bersatu tidak terpisah.

Kesimpulannya

Jika seorang muslim mencari malam lailatul Qadar carilah pada malam ganjil sepuluh hari terakhir : 21, 23,25,27 dan 29. Kalau lemah dan tidak mampu mencari pada sepuluh hari terakhir, maka carilah pada malam ganjil tujuh hari terakhir yaitu 25, 27 dan 29. Wallahu 'alam

Bagaimana Mencari Malam Lailatul Qadar?

Sesungguhnya malam yang diberkahi ini, barangsiapa yang diharamkan untuk mendapatkannya, maka sungguh telah diharamkan seluruh kebaikan (baginya). Dan tidaklah diharamkan kebaikan itu, melainkan (bagi) orang yang diharamkan (untuk mendapatkannya). Oleh kerana itu dianjurkan bagi muslimin (agar) bersemangat dalam berbuat ketaatan kepada Allah untuk menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala-Nya yang besar, jika (telah) berbuat demikian (maka) akan diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu. Rasululah S.A.W. bersabda, "Artinya : Barang siapa berdiri (solat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (7).

Disunnahkan untuk memperbanyak do'a pada malam tersebut. Telah diriwayatkan dari Sayyidah Aisyah RadhiyAllahu 'anha, (dia) berkata : "Aku bertanya, "Ya Rasululah ! Apa pendapatmu jika aku tahu bila malam Lailatul Qadar (terjadi), apa yang harus aku ucapkan ?" Beliau menjawab, "Ucapkanlah : 

"Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul afwa fa'fu'annii"

"Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku." Saudaraku -semoga Allah memberkahimu dan memberi taufiq kepadamu untuk mentaati-Nya- engkau telah mengetahui bagaimana keadaan malam Lailatul Qadar (dan keutamaannya) maka bangunlah (untuk menegakkan solat) pada sepuluh malam terakhir, menghidupkannya dengan ibadah dan menjauhi wanita, perintahkan kepada isterimu dan keluargamu untuk itu, perbanyaklah perbuatan ketaatan.

Dari Aisyah RadhiyAllahu 'anha. "Artinya : Adalah Rasululah S.A.W., apabila masuk pada sepuluh hari (terakhir bulan Ramadhan), beliau mengencanngkan kainnya (8) menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya" (9).

Juga dari Aisyah, (dia berkata) : "Artinya : Adalah Rasululah S.A.W. bersungguh-sungguh (beribadah apabila telah masuk) malam kesepuluh (terakhir) yang tidak pernah beliau lakukan pada malam-malam lainnya." (10).

Tanda-Tandanya

Ketahuilah hamba yang taat -mudah-mudahan Allah menguatkanmu dengan ruh dariNya dan membantu dengan pertolonganNya- sesungguhnya Rasululah S.A.W. menggambarkan paginya malam Lailatul 
Qadar agar seorang muslim mengetahuinya.

Dari 'Ubay r.a., ia berkata : Rasululah S.A.W. bersabda,"Artinya : Pagi hari malam Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi" (11).

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Kami menyebutkan malam Lailatul Qadar di sisi Rasululah S.A.W. beliau bersabda, "Artinya : Siapa di antara kalian yang ingat ketika terbit bulan seperti syiqi jafnah." (12).

Dan dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata : Rasululah S.A.W. bersabda,"Artinya : (Malam) Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan." (13).

__________________________________________________________________________
nota kaki

1- Pendapat-pendapat yang ada dalam masalah ini berbeza-beza, Imam Al-Iraqi telah mengarang satu risalah khusus diberi judul Syarh Shadr Bidzikri Lailatul Qadar, membawakan perkataan para ulama dalam masalah ini, lihatlah...

2- Sebagaimana dinukil Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah 6/386.

3- Hadis Riwayat Bukhari 4/225 dan Muslim 1169.

4- Hadis Riwayat Bukhari 4/221 dan Muslim 1165.

5- Lihat Maraji' tadi.

6- Hadis Riwayat Bukhari 4/232.

7- Hadis Riwayat Bukhari 4/217 dan Muslim 759.

8- Menjauhi wanita (iaitu isteri-isterinya) kerana ibadah, menyingsingkan badan untuk mencarinya.

9- Hadis Riwayat Bukhari 4/233 dan Muslim 1174.

10- Hadis Riwayat Muslim 1174.

11- Hadis Riwayat Muslim 762.

12- Muslim 1170. Perkataan: "Syiqi jafnah" syiq artinya setengah, jafnah artinya bejana.
Al-Qadhi 'Iyadh berkata: "Dalam hadis ini ada isyarat bahawa malam Lailatul Qadar hanya terjadi di akhir bulan, kerana bulan tidak akan seperti demikian ketika terbit kecuali di akhir-akhir bulan".

13- Tahayalisi 349, Ibnu Khuzaimah 3/231, Bazzar 1/486, sanadnya Hasan.

Tuesday, September 8, 2009

Masjid Al-Hilal Sign Board

Tajaan Berbuka & Sedekah JIM 1430H

http://rayuan-ramadhan.jim.org.my/blog/

Berbuka Puasa dan Majlis Tazkirah sempena Nuzul Quran Di Masjid Al-hilal





Sunday, September 6, 2009

Menghayati makna, hikmah peristiwa Nuzul al-Quran


Menghayati makna, hikmah peristiwa Nuzul al-Quran
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
RAMAI pengkaji berselisih pendapat tarikh sebenar turunnya kitab suci al-Quran, namun mereka bersepakat mencatat peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Perkataan 'nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Firman Allah SWT: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An'am:38)

Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai 'kitab induk' panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya. Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah Nabi SAW, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-'Alaq:1-5)

Nabi SAW banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan. Maknanya Nabi juga belajar secara berguru iaitu dengan Jibril dan umatnya juga dituntut belajar dengan berguru. Nabi Muhammad juga mengulang-ulangi bacaan al-Quran begitu juga dengan para sahabat. Nabi bersabda maksudnya: "Semulia-mulia umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran."

Monday, August 24, 2009

Program Kemasyarakatan KBS Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Putatan








Sunday, August 23, 2009

Tujuh tingkat neraka sedia hukuman setimpal kesalahan


Tujuh tingkat neraka sedia hukuman setimpal kesalahan
Oleh Muhamad Rozi Hassan


NERAKA berasal perkataan Ibrani bermaksud unggun api menjadi tempat seksaan Allah yang dikhususkan untuk golongan ingkar kepada perintah-Nya ketika di dunia.

Di neraka, orang kafir termasuk golongan yang ingkar perintah Allah diseksa sebagai pembalasan seperti dijanjikan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman jagalah dirimu, keluargamu daripada api neraka. Bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Sedangkan penjaganya adalah malaikat yang gagah lagi bengis. Mereka tidak menderhaka Allah, mereka melakukan apa saja yang diperintahkan kepadanya.” (Surah At-Tahrim: 6)
Api neraka berjuta kali panasnya berbanding api di dunia. Jika api itu jatuh ke bumi, walaupun sebesar hama, hancur lebur dunia ini. Itulah kepanasan api neraka yang tiada tolok bandingnya.

Tujuh nama neraka menanti golongan yang mendustai dan mengingkari perintah Allah SWT. Pembahagian tingkatan neraka menurut Syeikh Dahak Al-Ahbar yang kemudian dipersetujui ahli tafsir dan Usuluddin, antaranya Syeikh Qurthubi dan Imam Al-Ghazali ialah:

l Neraka Jahanam. Tingkat teratas. Neraka ini bermula dari tingkat paling atas sehingga ke terakhir (bawah). Ia seburuk-buruknya dan penghuni kekal di dalamnya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Katakan kepada orang kafir; nanti kamu akan dikalahkan oleh orang Islam dan dihimpunkan kamu dalam Neraka Jahanam. Di sanalah tempat seburuk-buruknya.” (Surah Al-Imran:12)

Begitu juga dalam surah An Nisa, ayat 169, Allah SWT berfirman: “Orang kafir dan orang aniaya, mereka tidak diampunkan Allah dan tidak pula ditunjukkan jalan melainkan ke Neraka Jahanam. Mereka kekal dalam neraka itu selamanya. Yang demikian itu mudah sekali bagi Allah”.

l Luza adalah tingkat kedua yang dihuni pendusta agama Allah dan berpaling daripada ajarannya. Firman Allah bermaksud: “Sebab itu Kami beri khabar menakut kamu dengan Neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya melainkan orang celaka, iaitu orang mendustakan agama dan berpaling daripadanya.” (surah Al-Lail: 14-16)

l Hathamah ialah neraka tingkat ketiga tempat mereka yang lalai dalam mengerjakan perintah Allah kerana dipengaruhi harta dunia.
l Sair ialah tingkat ke empat neraka dihuni mereka yang makan harta anak yatim. Mata dan telinga mereka menjadi buta dan pekak manakala kulitnya tebal seperti Jabal Uhud.

l Saqru ialah neraka tingkat kelima, antara penghuninya ialah orang tidak bersolat, percaya kepada perkara bidaah, tidak memberi makan orang miskin dan tidak percaya kepada Hari Pembalasan.

l Jahim neraka tingkat keenam. Penghuninya melakukan dosa besar seperti berzina, membunuh, mendustai agama Allah dan minum arak.

l Hawiyah ialah neraka paling bawah menempatkan orang memusuhi Nabi. Walaupun neraka ini paling bawah, apinya sangat panas. Firman Allah SWT bermaksud: “Siapa yang ringan timbangan, dia dilemparkan ke Neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah Neraka Hawiyah? Ia adalah api yang sangat panas. ” (surah Al-Qariah: 8-11).

Wednesday, August 19, 2009

Mempersiapkan diri menghayati Ramadan


Oleh Nik Salida Suhaila
RAMADAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa.”

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: “Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup”.
Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

4 Imam dalam sunnah al-Jamaah

Al Imam Abu Hanifah Rahimahullah
Latar Belakang
• Nukman b Tsabit rahimahullah
• Lahir: Kufah, Iraq, 80H
• Bapa: Keturunan Parsi
• Gelaran: Kerana anak lelakinya bernama Hanifah.
Hanifah bererti orang taat dan ahli ibadat
Dalam bahasa Parsi bermaksud dakwat
• Meninggal dunia: Baghdad, Rejab 150H, 70 tahun

Sifat Peribadi
• Mulia, bercita-cita tinggi, berani dan pintar
• Petah becakap, pendiam, wara’, peramah, tenang, sabar, berpakaian bersih dan kemas
• Hartawan, berilmu, kuat ibadat, dermawan, amanah, zuhud
• Ahli perundangan digelar al Imam al A’zam

Pendidikan
• Pendidikan sempurna sehingga peringkat tinggi. Diberikan kemudahan oleh bapanya yang kaya
• Menumpukan minat lebih kepada fiqh dan perundangan Islam
• Berguru dengan ulama sezamannya termasuk para sahabat dan tabiin

Sumbangan
• Penulisan
al Fiqhu al Akbar
Kitab al Faraidh
Masailu al Usul
al Jamiu al Kabir, al Jamiu as Shaghir
Kitab al Mabsut
As Sairu al Kabir, as Sairu as Shaghir
• Pengasas Mazhab
Mazhab Hanafi. Banyak menggunakan qias dalam sumber hukum
• Pemikiran
Kemukakan kaedah penyelesaian masalah terutamanya qias
Melarang bertaqlid kepadanya jika tidak tahu asal pendapatnya
Berijtihad apabila sesuatu hukum tiada dalam al Quran, as Sunnah dan fatwa sahabat
Melarang umat Islam beramal dengan perkara bidah
• Murid

Ketokohan
• Pintar mengeluarkan hukum
• Gunakan akal untuk membuat kesimpulan
• Menyelesaikan masalah dengan memberi fatwa
• Berdikari dan tidak tamak

Al Imam Malik Rahimahullah
Latar Belakang
• Malik bin Anas b Amir al Asbahi
• Lahir: Madinah, 93H
• Meninggal dunia: 179H, 86 tahun, Perkuburan Baqi’

Sifat Peribadi al Imam Malik
• Hormati ibu bapa, orang dewasa dan guru
• Sopan santun, suka menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah ke kubur
• Pendiam, hanya bercakap perkara berfaedah sahaja
• Berpakaian bersih, kemas dan memakai bauan yang harum
• Pemurah, dermawan, suka memberi pertolongan
• Suka bergaul dengan semua lapisan masyarakat

Pendidikan
• Hafaz seluruh al Quran sebelum baligh
• Pelajari hadis, menjadi tokoh hadis dan ahli hukum terkenal
• Dalami ilmu pengajian fiqh dengan mengkaji pendapat ulama berlainan aliran
• Tinggal dengan gurunya beberapa tahun mempelajari ilmu agama

Ketokohan dan Pendirian
• Diiktiraf sebagai ulama ketika 17 tahun
• Majlis ilmunya mendapat sambutan menggalakkan
• Menentang bidah dan taqlid dengan pegangan al Quran dan as Sunnah
• Sedia mengaku tidak tahu jika tidak yakin dalam berfatwa
• Menolak jawatan ketua hakim kerana tidak sesuai dengan dirinya

Sumbangan al Imam Malik
• Penulisan
Kitan al Muwatta’. Sumber rujukan bidang hadis dan fiqh
• Pengasas mazhab maliki
Terkenal sebagai mazhab aliran hadis, pegangannya banyak dengan al Quran dan hadis
• Murid
As Syafie
Al Imam as Syafie Rahimahullah
Latar Belakang
• Muhammad b Idris b Usman al Abbas b Usman Syafi’ b as Saib
• Keturunan Quraisy, berhubungan dengan Rasulullah, ibu bapa berasal dari Mekah
• Lahir: Ghazah, Palestin, 150H, bapanya sudah meninggal dunia
• Digelar as Syafie sempena nama moyangnya
• Meninggal dunia: 204H, Mesir, 54 tahun

Sifat Peribadi
• Fasih bercakap, suara menarik dan qari yang masyhur
• Berakhlak mulia, kuat ingatan, berhemah tinggi
• Pelihara adab dan disiplin

Pendidikan
• Telah hafaz al Quran ketika 9 tahun
• Diiktiraf menjadi guru di Masjidil Haram dan mengeluarkan fatwa ketika 15 tahun
• Mengutip kertas yang dibuang untuk mencatat pelajaran kerana miskin
• Menghafaz al Muwatta’ sebelum mempelajarinya
• Belajar fiqh, al Quran, hadis dan lain-lain

Perkembangan Mazhab as Syafie
• Jalan tengah anatara aliran mazhab ar Ra’yu dan mazhab ahli hadis
• Ada dua pendapat, Qaul Qadim (di Mekah dan Madinah), Qaul Jadid (di Mesir)
• Di Mesir, mengembangkan pengajaran secara meluas sehingga ramai murid yang turut menyebarkan ke luar Mesir

Faktor Perkembangan Mazhab as Syafie di Asia Tenggara
• Dakwah
Pendakwah dari Tanah Arab bermazhab Syafie melalui pengajian
• Perdagangan
Menjalankan perdagangan sambil menyebarkan Islam
• Pusat Pengajian
Seperti pondok dan pesantren yang diasaskan ulama bermazhab Syafie
Dasar Pengambilan Hukum
• Al Quran
• As Sunnah
• al Ijma’
• Qias

Sumbangan al Imam as Syafie
• Pengasas Mazhab
• Hasil Kerja
Ar Risalah
Al Umm
al Musnad
Ikhtilaful Hadis
Kitab al Fiqh
al Jami’ al Kabir
• Murid
al Imam Ahmad bin Hanbal
Al Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah
Latar Belakang
• Ahmad bin Muhammad bin Hanbal
• Lahir: Baghdad, Iraq, 164H, zaman Khalifah Abbasiah
• Panggilan: Hanbal untuk menghormati keturunannya
• Meninggal dunia: 241H, Baghdad, 77 tahun

Sifat Peribadi
• Suka berpakaian putih bersih dan kemas
• Peribadi mulia, rendah diri, pendiam, kuat memelihara maruah dan agama
• Suka bergaul dengan faqir miskin, berani dan tegas pendirian membela kebenaran
• Bertaqwa, kuat beribadah, khatam al Quran tujuh malam sekali, solat sunat 300 rakaat sehari
• Zuhud, wara’, pemurah, berhemah tinggi

Pendidikan
• Membawa dakwat dan kertas ke mana sahaja
• Telah hafaz al Quran dan hadis sejak kecil
• Pendidikan awal di pusat ilmu Baghdad sehingga menjadi ulama terkemuka
• Terpaksa bekerja menampung pengajiannya

Ketokohan al Imam Ahmad dalam Bidang Hadis
• Gigih menyelidiki sumber dan kebenaran hadis
• Sanggup mengembara beberapa bulan untuk menyelidiki satu / dua hadis
• Diakui sendiri oleh al Imam as Syafie
• Memuliakan kuliah hadis ketika 40 tahun

Sumbangan al Imam Ahmad bin Hanbal
• Hadis
Menyusun hadis dengan tersusun dan rapi dan teliti
• Pengasas Mazhab
Digelar ahli Sunnah kerana mengutamakan al Quran dan as Sunnah. Larang bertaqlid dalam agama
• Penulisan
Tafsir al Quran
al Musnad
Kitab an Nasikh wa al Mansukh
Kitab Taati ar Rasul
Kitab al Ilal
al Manasik al Kabir
al Manasik as Shaghir
• Murid al Imam Ahmad
al Imam al Bukhari
al Imam Muslim
al Imam Abu Dawud
Dasar Hukum Mazhab
• Al Quran
• as Sunnah
• Fatwa sahabat
• Hadis dhaif yang boleh dinaikkan kepada hasan
• Qias

Tuesday, August 11, 2009

22 perkara adab, petua membaca al-Quran


Berikut adalah adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang saya dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:

Berniat ikhlas kerana Allah SWT. Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.

Membaca dalam keadaan berwuduk. Mengadap ke arah kiblat. Memulakan dengan at-Ta'awwuz. l Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat. Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring - Ihya` Ulumiddin. Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan. Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.

Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting. Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan. Beramal dengan ajaran al-Quran itu. Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” - (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim).Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya. Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu. Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa. Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas. Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.

Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad. Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi. Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata. Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Tuesday, July 28, 2009


Banyak iktibar boleh dicerna melalui peristiwa Israk Mikraj
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
PERJALANAN Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sehinggalah ke Sidratul Muntaha pada malam Israk Mikraj memang tidak tercapai dek akal dan satu cara untuk memahami peristiwa itu ialah dengan merujuk kepada al-Quran. Pegawai Bimbingan Haji dan Umrah Rayha Travel, Mohd Nizam Kamaruzaman, berkata walaupun Israk Mikraj tidak boleh dicerna oleh akal tetapi umat Islam wajib mempercayainya kerana banyak iktibar boleh dikutip daripada peristiwa luar biasa itu selain disyariatkan solat lima waktu sehari semalam. "Ayat itu dimulakan dengan memuji zat Allah dan ini menunjukkan betapa istimewanya Israk Mikraj. "Pengajaran sudah kita ambil ialah setiap kali melihat perkara luar biasa, selalunya kita akan berkata Maha Suci Allah (Subhanallah). "Sementara perkataan hamba yang digunakan merujuk kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pengiktirafan. Begitu juga sebahagian kecil tanda kebesaran lain yang berlaku ketika perjalanan itu, semua mempunyai maksud supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa itu," katanya pada majlis sempena Israk Mikraj yang diadakan di surau The New Straits Times Press (M) Bhd, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tetapi malangnya kata Mohd Nizam, ramai yang tidak mempercayai Israk Mikraj kerana masih ramai tidak takut melakukan maksiat dan membuat dosa. Katanya, jemputan Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu menjadi ujian keimanan kepada masyarakat dunia dan untuk melihat keyakinan mereka terhadap agama Allah termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala. Contohnya, apabila Nabi Muhammad SAW diperlihatkan mengenai kumpulan yang menanam sedikit tetapi hasil diperoleh berlipat kali ganda adalah gambaran manusia yang yakin kepada agama Allah berbuat ibadat sedikit tetapi mendapat ganjaran pahala yang banyak.

Begitu juga dengan pengalaman dilalui Baginda SAW ketika dibawa melawat neraka dan melihat bentuk seksaan diterima mereka yang ingkar akan suruhan agama serta lalai menunaikan amanah semasa di dunia. Beliau berkata, Israk Mikraj melahirkan empat golongan iaitu yang yakin dan terus percaya kepada apa disampaikan Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar as-Siddiq, yang percaya tetapi tidak yakin seperti Abu Jahal. Dua golongan lagi ialah mereka yang yakin tetapi inginkan bukti sementara yang akhirnya, golongan tidak ambil kisah langsung peristiwa itu. "Golongan keempat itu adalah mereka yang tidak mahu berfikir soal agama langsung dan sewajarnya mereka menjadi ayam daging yang tidak kisah apa berlaku di sekeliling sebaliknya hanya memikirkan diri sendiri saja hingga tiba saat untuk disembelih dan menjadi sajian di meja makan," katanya. Menyentuh pensyariatan solat, Mohd Nizam berkata, Islam tidak berkompromi dalam hal ibadat itu kerana pentingnya solat, untuk menyampaikan suruhan itu Nabi Muhammad dijemput menemui Allah.Tidak seperti suruhan lain yang diturunkan melalui wahyu. Katanya, tujuan manusia diwajibkan menunaikan solat bukan untuk menggembirakan Allah kerana setiap amalan dilakukan manusia di dunia ini akan kembali kepada mereka pada hari dikumpulkan bagi dinilai di akhirat kelak. "Oleh itu, mulai sekarang marilah kita memperbaiki solat kerana manfaat solat ialah untuk menjadikan kita seorang yang tawaduk, ikhlas melakukan ibadat kerana Allah, mendapat ketenangan dan menjauhkan daripada melakukan kemungkaran."Hendaklah kita berusaha menjadi hamba Allah yang diiktiraf kerana hubungan kita dengan Allah kerana kemuncak segala nikmat adalah untuk berjumpa Allah Maha Berkuasa suatu ketika nanti," katanya.

Monday, July 20, 2009



WATAK MANUSIA YANG DIBENCI OLEH ISLAM
Allah SWT mencipta alam dan muka bumi dengan sempurna supaya manusia dapat hidup aman damai. Bagaimanapun terdapat manusia yang suka mengganggu ketenterman dan kesejahteraan itu sendiri. Dalam al-Qur’an disebutkan empat watak manusia yang sebegini. Sama ada dalam kehidupan peribadi, berjiran tetangga, bermasyarakat, berbangsa atau bernegara. Keempat-empat watak ini selalunya mengganggu masyarakat dan sentiasa bekerja mengelabui mata orang ramai, mempersenda-sendakan agama dan melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat dan ummah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 204-205:

Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah) bahwa Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya. Dan apabila ia berpaling, berjalanlah ia di bumi, untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada kerosakan.”

Antara watak tersebut adalah:

Watak Pertama: Manusia yang bermulut manis dibibir tetapi hati penuh dengan racun berbisa. Manusia jenis ini sangat pandai berkata-kata dan mempunyai daya tarikan yang mempersonakan hati ramai orang. Dia boleh dianggap mempunyai hati yang baik, jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan seorang pemikir yang sentiasa memikirkan kepentingan umum tetapi pada hakikatnya adalah lain dibibir lain dihati. Pada pandangan agama Islam, manusia seperti ini adalah seorang yang munafik. Zahirnya mengatakan ’Ya’ tetapi batinnya mengatakan ’Tidak’. Manakala dalam masyarakat Melayu, dia dipanggil ’Musuh Dalam Selimut’, ’Musang Berbulu Ayam’ atau ’Telunjuk Lurus Kelingking Berkait’.

Watak Kedua: Manusia perosak masyarakat. Manusia jenis ini tidak mempunyai rasa malu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat. Kerosakkan yang dilakukan adalah semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan dan emosi apabila melihat orang lain mendapat kebaikan.
Antara musibah yang menimpa masyarakat dengan adanya manusia sebegini adalah lahir kumpulan yang suka menyalahkan orang lain atau kumpulan lain. Ada yang sanggup mencaci, menghina, memaki orang lain. Kita perlu ingat bahawa watak ini tidak dapat menyelesaikan masalah ummah tetapi menambahkan beban masalah buat masyarakat dan negara. Justeru itu, manusia yang terlibat dalam kelompok ini, gemar mencela, mengumpat, mengutuk, memfitnah tanpa dasar yang betul. Adalah suatu kezaliman sekiranya seseorang menuduh orang lain melakukan perbuatan yang tidak dilakukan olehnya. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita dalam sebuah hadith baginda yang diriwayatkan oleh at-Thobarani: Mafhumnya: “Janganlah kamu mencaci maki para pemimpin. Doakanlah kebaikan untuk mereka kerana sesungguhnya kebaikan mereka membawa kebaikan untuk kamu juga”.

Salah satu perkara yang dilakukan oleh mereka ini ialah melalui penyebaran berita palsu dan fitnah. Fitnah dilakukan sama ada melalui perkataan, ucapan atau tulisan. Pada zaman era globalisasi ini pelbagai fenomena fitnah telah muncul. Justeru, umat Islam hendaklah berusaha menolak dan menjauhi daripada terlibat. Alat-alat tekonologi yang maju patut digunakan untuk faedah dan kebaikan manusia dan bukannya disalahgunakan. Sedarilah bahaya fitnah tersebut boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jika fitnah terkena kepada pemimpin, maka jatuhlah kepimpinannya. Jika fitnah itu mengenai guru, maka hilanglah kewibawaannya sebagai pendidik. Dan jika fitnah itu mengenai suami isteri, maka bergoncanglah keharmonian rumah tangga dan keluarga.

Firman Allah SWT dalam surah alk-Anfal ayat 25:

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”.

Watak Ketiga pula ialah: Manusia yang tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima kritikan, tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima pendapat orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Mereka ini jika diajak membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan yang betul, diajak secara jujur, maka mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak. Watak manusia sebegini adalah disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan diri sendiri atau kumpulan mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya daripada orang lain. Lantaran itu manusia seperti ini akan menjadikan sesiapa sahaja sebagai ‘Kambing Hitam’ untuk menutup segala kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri mereka.

Kesemua watak manusia yang dinyatakan tadi mengajak kita semua berfikir dan berwaspada supaya tidak menjadi golongan berkenaan. Untuk itu mimbar menyeru semua pihak dan sidang jemaah sekalian, sedarilah bahawa masyarakat yang bertamadun akan mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan jahat yang boleh memusnahkan agama, masyarakat dan negara. Semoga dengan sikap sedemikian kita tidak terjerumus ke dalam perbalahan, perpecahan, pencerobohan hak, pertumpahan darah dan sebagainya.

Maksudnya: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau jika Ia memberikan rahmat kepada kamu? Dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun selain Allah, pelindung atau penolong mereka.”
(Surah al-Ahzab:17)

Wednesday, July 15, 2009

Bersyukur kerana masih dipanjangkan hayat usia kita.


Semua manusia inginkan kebahagian dalam hidup. Namun apakah kebahagian yang kita kecapi hari ini
menepati ciri2 kebahagian hidup yang dituntut oleh agama kita??

PERTAMA : pasangan hidup yang soleh. Sebabnya sudah tentulah sifat solehnya itu akan mewujudkan suasana aman tenteram dalam rumah kita sekaligus menciptakan keluarga yang soleh. “Solehkah kita untuk pasangan kita?? persoalan tu macam kena katbatang hidung aku sendiri. Anda, bagaimana?? Saya pasti anda soleh untuk pasangan anda…”

KEDUA : Kebahagian yang dituntut adalah memiliki qalbu yang yang sentiasa mensyukuri. Mensyukuri nikmat yang diperoleh dan redha dengan segala apa ujian dan musibah daripada Yang Mencipta. Jika sifat ini ada dalam diri kita, nescaya kita mudah memahami sifat2 ALLAH.

KETIGA : Memiliki usia yang berkat. Semakin alam kubur memanggil kita semakin banyak amal yang kita lakukan. Semakin banyak amal yang kita lakukan semakin rindu kita untuk bertemu denganNYA. Memetik bait indahdalam lagu “Sepohon Kayu” “….. walaupun hidup seribu tahun kalau tak sembahyang apa gunanya”

KEEMPAT : iaitu memiliki anak yang soleh dan solehah. Amal ibadah kita seharian adakah mencukupi untuk membalas cinta ibu bapa kita? sememangnya kita sendiri dituntut dan dipertanggungjawab kepada ibu bapa kita untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Sebagaimana yang anda tahu, doa anak2 yang soleh dimakbulkan ALLAH.

KELIMA : berada dalam ruang lingkup rakan-rakan yang mampu menambahkan keimanan kita dan bukannya yang merosakkan jiwa dan pegangan agama kita. Rasulullah sendiri menganjurkan kita agar selalu berdamping dengan orang2 yang soleh.

KEENAM : sentiasa terangsang untuk mendalami ilmu-ilmu Allah. Membezakan antara seseorang adalah ilmu yang dimiliki. Ilmu itu pula seharusnya diamalkan dan dikongsi bersama bukannya diRAHSIAkan.

KETUJUH : memiliki harta yang halal. Tiada guna jika harta yang bertimbun tetapi datangnya dari sumber yang haram dan berbahagilah anda dengan harta yang sedikit tetapi dari sumber yang halal. namun
begitu, tidak beerti Islam melarang umatnya daripada mengejar kekayaan. Orang yang memiliki harta yang halal, doanya mudah dimakbulkan

nulis asal artikel tersebut ialah Mohd Zuhairi
Zainudin, Perunding Motivasi Self Dynamic and Management Training
Consultant. Semoga kita sama2 menuju ke arah 7 kebahagian dalam hidup.