Thursday, February 2, 2012

Sifat merendah diri pada Rasulullah wajar dicontohi
Oleh Amran Zakaria

2012/02/03

RASULULLAH SAW amat dicintai dan disayangi kerana peribadinya yang mulia. Sifat meredah diri Baginda amat mengagumkan. Jauh sekali untuk Rasulullah SAW bersifat sombong dan angkuh dengan pemilihannya sebagai uswatun hasanah.

Sedangkan kita, tanpa disedari telah memiliki sifat angkuh dan sombong melalui percakapan, perbualan, tutur kata, suka menunjuk-nunjuk dan mempamerkan sesuatu berselindung dengan hasrat untuk dipuji dan disanjung.
Berbeza Rasulullah SAW yang melihat sombong itu dari sudut yang nyata. Baginda bersabda bermaksud: “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia,” (Riwayat Muslim)
Ibnul Qayyim, cendekiawan dan ahli fiqh terkenal, abad ke-13, pernah menyatakan bahawa “sesungguhnya hati manusia berdepan dua ‘penyakit’ yang amat besar, jika orang itu tidak menyedari akan melemparkan dirinya ke dalam kehancuran dan itu adalah pasti, dua ‘penyakit’ itu adalah riak dan takbur...”

Berkata Imam Al Ghazal, orang yang takbur itu ialah orang yang apabila ditegur, dia marah dan benci, sedangkan kalau dia menegur orang lain, ditegurnya dengan keras dan kasar."

Sebenarnya sifat sombong dan angkuh lahir daripada naluri seseorang yang diterjemah melalui perilaku dan tutur kata. Melalui sifat itu seseorang berasakan dirinya lebih daripada orang lain dan sentiasa hebat untuk dibandingkan.

Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kalian merendahkan diri sehingga seseorang tidak menyombong diri atas yang lain dan tidak berbuat zalim atas yang lain.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah mencela sikap angkuh dan bangga diri. Daripada Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Ketika seorang lelaki berjalan, dia berbangga terhadap dirinya hingga mengangkat kepalanya ke atas. Dia berjalan dengan sombong seolah-olah bumi tertelan oleh pakaiannya, maka sesungguhnya dia akan terperosok di dalamnya sampai hari kiamat kelak. (Riwayat Syaikhan dan Syaibani)

Sifat sombong bukan saja pada pangkat dan kedudukan, malah melalui percakapan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menyeret bajunya dengan tujuan menyombongkan diri, maka Allah tidak akan melihat dirinya di hari kiamat." (Riwayat Syaikhan Nawawi).

Diriwayatkan daripada Amru bin Syuaib bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Di hari kiamat, orang yang sombong akan dikumpulkan seperti debu halus. Mereka ditutupi oleh kehinaan pada setiap tempat, kemudian diiring ke penjara di neraka jahanam yang disebut Bulas, mereka dilumat oleh api neraka, disiram dengan minuman ahli neraka berupa lumpur yang membinasakan." (Riwayat Ar- Tirmizi dan Syaibani).

Adi bin Hatim, putra Hatim yang terkenal sangat dermawan pernah menyebut bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: "Saudara semua perlu melakukan kebaikan untuk menjauhkan diri daripada api neraka, walaupun saudara hanya memberi sedekah dengan sepotong kurma. Namun, bagi sesiapa yang tidak mampu, bertuturlah dengan tutur kata yang baik." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hanya melalui keinsafan dan kesedaran, hidup ini hanya sementara dan tugas kita beribadah kepada Allah dapat mengelakkan sifat sombong dan bangga diri. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang merendah diri kepada Allah, Allah akan mengangkatnya.” (Muslim)

Rasulullah SAW ialah manusia yang amat toleran, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Baginda tidak menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menjadi suami yang angkuh dan sombong. Sebaliknya, baginda sendiri sering menolong isteri baginda dalam hal rumah tangga. Sebagai pemimpin pula, baginda tidak pernah menggunakan kuasa untuk bersifat angkuh menyombong diri dan mencela orang bawahan. Baginda sentiasa ramah mesra, sopan-santun dan murah hati tanpa memilih puak, darjat dan keturunan.

Baginda juga tidak pernah membalas setiap cacian dan cercaan orang kafir. Baginda sering menghampiri dengan memuliakan orang miskin dan anak yatim. Selalu melawat pesakit meskipun rumahnya jauh di pinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin.

Baginda memuliakan orang miskin dan anak-anak. Daripada Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW bertemu dengan beberapa orang anak lalu baginda memberi salam kepada mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda Rasulullah SAW tidak pernah mengecewakan sesiapapun, tidak berkata melainkan yang hak dan tertawa baginda setakat senyum saja tanpa hilai ketawa. Jelasnya, baginda tidak bersifat sombong dan takbur walaupun amat dimuliakan umatnya. Sombong dan takbur mempunyai pengertian yang sama iaitu antara sifat yang keji dan tercela. Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun cuma sedikit, dan menjadi penghalang daripada syurga.

Wednesday, July 20, 2011

gambar-gambar semasa majlis penyerahan kunci...




Penyerahan kunci masjid baru Al-Hilal 19.7.2010.


Hari yang bersejarah bagi masjid al-Hilal pada 19.7.2011 akhir kunci masjid diserahkan kepada pengerusi, meskipun kualiti kerja-kerja pembinaan amat menyedihkan namun dengan hati terluka kunci masjid di terima.

Thursday, June 30, 2011

Peristiwa Israk & Mikraj



Posted by Ustaz Nor Amin Sayani Bin Zainal.

Sebelum Baginda di Israk Mikrajkan, Baginda dibedah dadanya oleh Malaikat Jibrail dan Mikail. Hati dan perut Baginda dibasuh, dicuci dan dibuang alaqah (ketulan hitam) iaitu tempat syaitan berbisik untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan air zam-zam. Setelah dicuci Malaikat Jibrail dan Mikail menuangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Baginda dan dijahit dengan menggunakan Khatimin Nubuwwah.

Selepas pembedahan selesai, maka Baginda di Israk oleh Malaikat Jibrail dan juga ditemani oleh Malaikat Israfil dengan menaiki Buraq. Berbagai tempat dikunjungi oleh Baginda ketika Israk . Setiap kali berhenti Malaikat Jibrail mengarahkan Baginda melaksanakan solat Sunnat 2 rakaat. Tempat-tempat yang dikunjungi ialah :

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Baginda akan melakukan hijrah.

Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada Allah.

Baitul-Laham (tempat Nabi Isa as dilahirkan).

Ketika dalam perjalanan Baginda diganggu oleh Jin Afrit dengan Api Jamung.

Baginda juga dapat melihat berbagai peristiwa yang menarik, seperti :

Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Baginda diberitahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad kejalan Allah (Fisabilillah) yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”

Tempat yang berbau wangi. Baginda diberitahu oleh Jibrail : “Itulah bau kubur Masyitah iaitu tukang sisir rambut anak Firaun bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang telah direbus oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah dan ia tak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan.”

Sekumpulan orang yang sedang menghantukkan kepala mereka. Setiap kali kepala mereka pecah, kepala mereka disembuhkan kembali, lalu dihantukkan semula sehingga pecah pula. Demikian perbuatan ini diulang berkali-kali. Jibrail memberitahu Baginda: “Itulah orang-orang yang berat kepala untuk sujud (sembahyang) kepada Allah.”

Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka juga dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : “Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”

Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail : “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.”

Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba.”

Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”

Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: "Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”

Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail : "Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah iaitu mencela dan menghinakan orang.”

Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail : “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.”

Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Baginda tidak memperdulikannya. Kata Jibrail : “Itulah dunia.” Jika Baginda memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat."

Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Baginda berhenti. Baginda tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.”

Seorang perempuan bongkok tiga menahan Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail : “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”

Setelah sampai di Masjid Al-Aqsa Baginda turun dari Buraq dan mengimamkan solat dua rakaat kepada para ambiya dan para mursalin. Setelah selesainya solat, Baginda dibawa oleh jibrail 2 gelas air susu dan arak. Baginda memilih air susu untuk diminum, maka berkata jibrail “Baginda membuat pilihan yang betul, jika Baginda memilih air arak nescaya ramai umat Baginda akan sesat.” Apabila selesai Baginda minum, berlakulah peristiwa mikraj iaitu :

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Baginda dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama: Baginda dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam as Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua: Baginda dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa as dan Nabi Yahya as.

Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf as.

Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris as.

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun as yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa as. Baginda mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat Baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Baginda, Nabi Ibrahim as bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitulah La Haula Wala Quwwata Illa Billah". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim as bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa Lah Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa Lah Haula Wa Lah Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Baginda dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Baginda menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya Baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Baginda masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh: Baginda sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah swt dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Baginda. Allah swt : “Ya Muhammad.” Baginda : “Labbaika.” Allah swt : “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.” Baginda : “Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izinMu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.” Allah swt : “aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang”

Selesai munajat, Baginda di bawa menemui Nabi Ibrahim as kemudian Nabi Musa as yang kemudiannya menyuruh Baginda merayu kepada Allah swt agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Allah mensyariatkan solat 5 waktu kepada umat Islam, Baginda turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini Baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Peristiwa Israk dan mikraj merupakan bukti kekuasaan allah kepada seluruh manusia di muka bumi ini. Peristiwa ini juga sebagai ujian kepada umat Islam, kerana mengikut logik akal peristiwa ini tidak benar dan tidak boleh sepantas 1 malam berlaku. Tetapi iman seseorang itu akan membenarkan peristiwa ini adalah benar dan merupakan peristiwa yang bersejarah kepada umat Islam.

Monday, April 11, 2011

Bunuh diri dilaknat, penghayatan agama mampu tangani tekanan



Oleh Nazri Hussein

PERBUATAN membunuh diri atas apa sebab sekalipun adalah terkutuk. Ia mencerminkan kekecewaan serta kegagalan seseorang berhadapan ujian dan dugaan hidup yang datang daripada Allah. Kehidupan dan kematian seseorang anak Adam itu terletak pada kekuasaan Allah. Jangan sesekali kita mempunyai niat membunuh diri meskipun berhadapan penderitaan atau menanggung kesakitan yang amat berat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh dirimu kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada dirimu.” (Surah An-Nisa, ayat 29) Islam sebagai agama syumul bertunjangkan akidah kepercayaan terhadap qada dan qadar Allah. Islam menolak budaya membunuh diri sebagai satu jalan pintas menyelesaikan beban masalah dalam hidup. Islam melaknat orang yang mati disebabkan membunuh diri kerana ia termasuk dalam dosa besar. Rasulullah SAW sendiri dalam satu riwayat enggan menyembahyangkan jenazah seorang lelaki Muslim yang mati membunuh diri menggunakan anak panah. Daripada Jabir Bin Samurah, katanya, “Didatangkan kepada Rasulullah SAW satu jenazah seorang pemuda yang mati dengan cara memanahkan dirinya sendiri, lalu Baginda tidak menyembahyangkan jenazah itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam Nawawi, Rasulullah SAW tidak menyembahyangkan mayat lelaki ini kerana Islam menegah umatnya melakukan perbuatan mungkar supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada orang lain untuk tidak mengulangi dosa besar yang dilaknat Allah.
Namun, sebagai manusia biasa yang melalui fitrah kehidupan sudah pasti tidak dapat mengelak daripada berhadapan penyakit memudaratkan. Justeru, antara doa diajar Rasulullah SAW: “Ya Allah, hidupkanlah aku selama kehidupan itu lebih baik bagiku dan matikanlah aku jika itu lebih mulia bagiku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) . Dalam satu kajian dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini mendapati kebanyakan mangsa membunuh diri terdiri daripada kalangan belia dan remaja berumur bawah 30 tahun.

Antara sebabnya, tekanan apabila ibu bapa meletakkan harapan tinggi terhadap anak dalam pendidikan hingga ada yang mengundang padah apabila anak gagal mencapai kehendak ibu bapa lalu berdepan tekanan hingga mendorong kepada tindakan tidak sepatutnya. Selain itu, penghayatan agama memainkan peranan penting tatkala anak berdepan segala kesulitan atau tekanan emosi. Rasulullah SAW mengingatkan supaya memperbanyakkan membaca al-Quran untuk menghilangkan keresahan atau resah gelisah. Justeru, hindari diri daripada keinginan untuk membunuh diri kerana Allah membukakan jalan yang luas bagi umatnya berusaha dan berikhtiar dengan kekuatan fizikal serta keampuhan mental demi membina kehidupan lebih baik. Andai segala usaha sudah dilakukan dengan bersungguh, berlapang dada serta bertawakal kepada Allah kerana Allah tempat kita mengadu dan memohon segala pertolongan. Ketika berdepan masalah serta jiwa resah atau tidak tenteram, Rasulullah SAW mengajar kita mengamalkan bacaan surah antaranya surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas dan Al-Kafirun.Yakinlah, di sebalik musibah dan bencana yang Allah turunkan seperti penyakit, bencana alam dan kemunduran hidup, sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri. Allah ingin menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran kita ketika berhadapan ujian di dunia ini.

Sunday, April 11, 2010

Hanya keinsafan mampu sekat zina, kes buang bayi


Dangkal ilmu, iman tipis punca keruntuhan moral, akhlak masyarakat

GEJALA membuang bayi begitu menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Tanpa naluri kemanusiaan, bayi yang dilahirkan itu dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa ibu dan pasangan ibu bayi berkenaan. Bayi tidak berdosa itu menjadi mangsa. Hak mereka untuk hidup di dunia dihakis manusia tidak berperi kemanusiaan itu. Mungkin di dunia ini mereka boleh terlepas daripada hukuman kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesan orang yang membunuh bayi ini namun sudah pasti di akhirat kelak Allah akan membalas perbuatan mereka dengan azab seksaan. Di akhirat nanti kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada hukuman Allah. Di sana, tiada peguam yang akan mampu membela orang yang melakukan kesalahan di sisi Allah. Perbicaraan di padang mahsyar begitu adil. Setiap amalan walau sebesar zarah akan dibalas sewajarnya.

Gejala membunuh bayi begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang begitu perlu dipertahankan. Sudah tidak ada lagi perasaan malu berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang di kalangan masyarakat. Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja dalam parti dan disko tanpa segan silu, meminum arak dan berpelukan sudah menjadi kebiasaan di sesetengah tempat.Malah, cubaan untuk mengawal moral sebegini sering ditentang kononnya melangkaui hak asasi manusia. Penggubalan undang-undang berkaitan kawalan moral tidak dapat dilakukan, malah undang-undang sedia ada berkaitan dengan moral juga hendak dihapuskan.

Persoalan mengenai sama ada ada undang-undang boleh mencampuri hal ehwal moral dicetuskan semula beberapa badan bukan kerajaan (NGO). Badan itu melihat undang-undang semata-mata dari lensa Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral. Jika seseorang itu berdosa, hanya Tuhan yang layak menghukum mereka. Namun, apabila gejala membuang bayi berlaku, tidak pula kedengaran usaha bagi mengetatkan undang-undang moral.

Sebenarnya budi pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus di dalam aktiviti jenayah. Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral bertunjangkan kepada agama.Walaupun satu daripada Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, permasalahan moral ini sering diketepikan. Memang benar Rukun Negara tidak mempunyai kekuatan undang-undang untuk dilaksanakan, namun apa gunanya berikrar atas nama Rukun Negara sekiranya ia tidak mahu dipatuhi.

Sepatutnya dalam membuat sesuatu keputusan, kita merujuk kembali kepada Islam sebagai agama negara. Seperti diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah: “Apakah akhlak Rasulullah” maka Aishah menjawab: “Akhlak Rasulullah ialah al-Quran.” Oleh itu, apabila al-Quran melarang orang Islam meminum arak, apakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila al-Quran melarang berzina, apakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan perzinaan dan pelacuran? Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Pada masa sekarang, kita tidak dapat lari dari mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri begitu asing dari Islam.

Kalau dulu apabila ayat al-Quran mengenai pengharaman arak diturunkan maka sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang selepas 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran amat rendah. Oleh itu hukuman berbentuk keduniaan ini perlu bagi berperanan sebagai penghalang kepada budaya meminum arak ini.Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan undang-undang. Pada masa ini, dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat amat menyedihkan. Apa akan jadi jika semua perundangan itu dihapuskan. Maka wujud lakonan dalam perundangan ini. Secara hipotetikal, apabila undang-undang dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di depan kita atau keluarga kita. Biarkan saja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?

Tidak dinafikan pendidikan adalah elemen penting mengawal moral. Tetapi pendidikan saja tidak mencukupi kerana ia bertindak sebagai ‘amar maaruf’, manakala hukuman dalam bentuk perundangan bertindak sebagai ‘nahi mungkar’.Kedua-dua kaedah ini sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam di dalam ruang yang begitu terhad dan berpilih saja. Amar makruf dan nahi mungkar sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam Islam, penguatkuasaan agama terletak dalam wilayah al hisbah. Mereka mempunyai hak dan tanggungjawab tersendiri. Jika kita meneliti kaedah hukum syarak, tidak timbul andaian suatu hari nanti mungkin ada undang-undang Islam yang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu solat lima kali sehari atau tidak? Andaian ini adalah melampau dan meleset serta tidak diasaskan kepada kaedah fekah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar yang terkenal garang pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.

Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian, tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuk kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.Berbalik kepada gejala pembuangan bayi ini, sudah pasti jawapan bagi menangani gejala ini ialah berbalik kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan memakai undang-undang yang digariskan Islam. Menjauhi zina adalah kewajipan setiap umat Islam. Memastikan zina tidak berlaku pula tanggungjawab masyarakat. Orang yang melakukan zina adalah orang yang dangkal ilmunya. Keimanannya tipis. Zina akan membawa kepada pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat serta memusnahkan susun atur sosiobudaya masyarakat. Apatah lagi masyarakat Timur yang dibina atas dasar keimanan dan ketakwaan. Undang-undang tanpa kesedaran juga mungkin tidak dapat membendung perzinaan. Anda bertindak bijak dengan menjauhi zina!

Friday, February 26, 2010

Pemandangan dari atas bukit keadaan rumah-rumah yang terbakar,



Lihat rumah yang berwarna kuning.............sebelum semasa dan selepas kebakaran. Tiada apa-apa yang dilakukan...ibarat ada bomba takde air...

sebanyak 6 buah kenderaan bomba cuba memadamkan api, namun disebabkan tekanan air rendah sebanyak 40- 50 rumah hangus.

Kebakaran di Kg Sri Pandan 27.02.2009




kebakaran berlaku kira-kira jam 8.30-9.00 am. Waktu saya sedang berada di restoran kerana melakukan kerja-kerja pembersihan. Dari arah Putatan asap tebal kelihatan dan kawasan itu saya kira hampir dengan tempat tinggal, lantas saya terus balik ke rumah. Didapati Kg. Sri Pandan ditimpah bencana.

Tuesday, February 2, 2010

02 Februari 2010











Minggu ke-2 

Masjid Alhilal masi dalam proses merobohkan struktur asalnya.. kalau di hitung.. agak lambat juga pekerja kontraktor ini melakukaan kerja2 merobohkan masjid asal..

Syukur juga sekolah agama rakyat di sebelah tidak jadi dirobohkan.. jadi dapatlah kanak2 menyambung pembelajaran mereka dan juga dapat kami jemaah menjalankan ibadah solat jumaat pd jumaat saja...