Tuesday, June 23, 2009

Peranan Salafusolih memelihara (sejarah pembukuan) Sunnah dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. hingga zaman Sahabat dan tabiin.

Pengenalan
Definisi hadith (sunnah)
Hadith secara harfiah bererti perkataan atau percakapan. Dalam terminologi Islam perkataan dimaksud adalah perkataan dari Nabi Muhammad s.a.w. Namun sering kali kata ini mengalami perluasan makna sehingga disinonimkan dengan sunnah sehingga bererti segala perkataan (sabda), perbuatan, ketetapan maupun persetujuan dari Nabi Muhammad s.a.w. yang dijadikan ketetapan ataupun hukum dalam agama. Hadith sebagai sumber hukum dalam agama Islam memiliki kedudukan kedua pada tingkatan sumber hukum dibawah Al Qur'an. Ibn Hajar memberi pengertian hadith iaitu apa-apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut Ayub bin Musa al-Husaini al-Qarimi al-Kufi yang lebih dikenali sebagai Abu al-Baqa’, hadith ialah suatu istilah bercerita atau mengkhabarkan atau juga memberitahu yang disandarkan perkhabaran atau penceritaan tersebut kepadA Rasulullah s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan dan juga ikrar.(Asmawi, 2003).
Dari segi bahasa al-Sunnah bererti jalan atau cara hidup samada ianya terpuji mahupun tercela. Dari segi istilah ulama-ulama hadith mengatakan bahawa takrifanya adalah sama seperti al-hadith. Sunnah juga berlawanan dengan bid’ah. Imam Syatibi berkata seseorang itu dikatakan mengikuti sunnah sekiranya dia melakukan amalan yang bertepatan dengan amalan Rasul s.a.w. atau amalan yang tidak wujud pada zamannya, sahabat dan salafusolah. Sunnah juga diakui oleh jumhur ahlul hadith bahawa ianya termasuk amalan para sahabat, kerana adalah maklum bahawa sahabat sentiasa beramal bertepatan dengan sunnah Rasul s.a.w. Ini ditegaskan oleh Imam Syatibi di dalam kitabnya bahawa sunnah sahabat adalah sebahagian dari sunnah Rasul s.a.w. berdasarkan hadith yang bermaksud:”Hendaklah kamu berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah bersungguh-sungguh (kacip gigi geraham)” Riwayat Abu Dawud. (Ahmad Fauzan, 2007).
Metodologi Pengajaran dan Pengumpulan al-Sunnah
Majlis-majlis Ilmu
Pada zaman Rasulullah s.a.w., beliau sentiasa mengadakan majlis-majlis ilmu dengan tujuan mengajar Islam kepada para sahabah dan telah mendapat sambutan hangat dari para sahahah. Setiap daripada mereka sentiasa berusaha sedaya upaya menghadiri majlis-majlis ilmu itu meskipun mereka sibuk dengan urusan hidup sendiri. Malah kalau mereka tidak dapat hadir mereka berusaha mengisi pengajaran majlis berkenaan melalui sahabat yang hadir. Para sabahah biasanya bermuzakarah sesama sendiri tentang segala apa yang mereka dengar daripada Rasulullah s.a.w. Anas Ibn Malik menceritakan ”Sewaktu kami berada dengan Nabi s.a.w. kami mendengar hadith daripadanya. Apabila kami beralih daripadanya kami bermuzakarah sehinggalah kami menghafalnya”. Riwayat al-Khatib al-Baghdadi. Disamping itu juga para sahabah menumpukan usaha menghafal hadith-hadith secara sepenuh masa.

Peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. sendiri dan dialami oleh orang-orang Islam.
Selain daripada majlis-majlis ilmiah, para sahabah memperolehi hadith-hadith Rasulullah s.a.w. melalui peristiwa-peristiwa yang melibatkan baginda sendiri. Di dalam sesetengah keadaan, jumlah mereka yang mendengar hadith begitu ramai sehingga membolehkan hadith tersebar dengan mudah. Bagi jumlah sahabah yang sedikit Rasulullah s.a.w. akan meminta sahabah memberitahu orang ramai mengenai hadith tersebut. Apabila terjadi apa-apa peristiwa terhadap masyarakat Islam pada waktu itu mereka akan bertanya Rasulullah s.a.w. tentang hukumnya. Adalah menjadi cara hidup para sahabah pada waktu itu untuk bertanya Rasulullah s.a.w. tentang apa sahaja yang mereka musykilkan untuk dijadikan panduan dalam menyelesaikannya. (Mohd Noor Deris, 2000).

Perbuatan-perbuatan Rasulullah s.a.w. yang disaksikan oleh para sahabah
Para sahabah sentiasa melihat sendiri bagaimana Rasulullah s.a.w. bersolat, berpuasa, menunaikan haji, bermusafir dan apa sahaja yang dilakukan di dalam kehidupan sebagai individu, pemerintah, pentadbir dan sebagainya. Pada masa hayat Rasulullah s.a.w. sunnah terpelihara dengan baiknya di kalangan para sahabah bersama al-Quran. Mereka mengetahui sunnah yang pernah lahir dan telah menghafalnya sebaik-baiknya. Malah mereka telah mewariskan sunnah itu kepada generasi Tabi’in dengan cara yang sempurna dan meyakinkan.

Sejarah pengumpulan dan pembukuan al-Hadith
Sekiranya sunnah dahulunya terbiar tanpa pembelaan dan usaha para sahabat, ulama dan cerdik pandai Islam, sudah tentu hari ini umat Islam hari ini tidak dapat menatapinya dan dan umat Islam pasti menghadapi berbagai-bagai kesukaran dalam menyelesaikan pelbagai persoalan yang menunggu di hadapan mereka hari ini. Semasa hayat Rasulullah s.a.w. secara umumnya Sunnah tidak ditulis. Antara sebab terjadi demikian ialah kejahilan orang-orang Islam pada waktu itu di bidang penulisan dan mereka masih lagi bergantung sepenuhnya kepada metod penghafalan dan pengingatan di dalam merekodkan apa-apa maklumat atau peristiwa.

Mengikut Muhammad Yusof Musa, sebab sebenar mengapa sunnah tidak ditulis pada masa hayat Rasulullah s.a.w. ialah larangan Rasulullah s.a.w. sendiri berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al Khudri, sabda Nabi s.a.w dengan maksudnya: “Jangan menulis apa-apa dari saya. Sesiapa yang menulis apa-apa dari saya selain daripada al-Quran hendaklah dia padamkan”. Abu Hurairah meriwayatkan yang bermaksud ”Rasulullah s.a.w. telah keluar kepada kami pada waktu kami sedang menulis hadith-hadith. Nabi s.a.w lalu bertanya ”Apa yang kamu semua tulis ini ?” Jawap kami; ‘hadith-hadith yang kami ambil dari tuan’. Sabda Nabi s.a.w ”Sebuah kitab yang lain dari kitabullah? Tahukah kamu bahawa sebab mengapa orang-orang terdahulu menjadi sesat ialah kerana mereka menulis kitab-kitab lain di samping Kitabullah ta’ala.”
Rasulullah pada ketika enggan membenarkan penulisan hadith kerana bimbang sekiranya terjadi percampuran antara al-Quran dan al-hadith dan umat Islam tidak dapat membezakan antara sumber kedua –dua sumber tersebut hingga menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam akhir zaman untuk menentukan yang mana lebih utama. Zaid bin Thabit meriwayatkan yang dinukil oleh seorang sahabat bernama Abu Sa’id al-Khudri, sabda Nabi s.a.w:”Janganlah kamu tulis sesuatu tentangku, barang siapa yang telah menulis tentangku selain al-Quran, maka padamkanlah, ceritalah tentangku tidak mengapa tetapi sesiapa yang membuat pembohongan ke atas diriku dengan sengaja, maka tersedia tempatnya dalam neraka.”
Memang tidak dinafikan bahawa ramai di kalangan sahabat yang tidak dapat bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. sepanjang waktu untuk menerima dan meneliti setiap perkataan dan perbuatannya. Bagaimanapun apa yang jelas larangan tersebut bukanlah dinyatakan secara tegas. Terdapat hadith-hadith yang menunjukkan sebaliknya. Abu Hurairah berkata:” Tidak ada daripada para sahabat Nabi s.a.w. yang mempunyai lebih banyak hadith daripada saya kecuali Abdullah Ibn Amr kerana dia menulis sedangkan saya tidak. Dalam hadith lain Rafi’ bin Khudaij menyebut:” Kami berkata: Wahai Rasulullah s.a.w. ! Kami telah mendengar banyak perkara daripada tuan, apakah boleh kami menulisnya? Jawap baginda:”Tulislah, tidak mengapa.” (Asmawi, 2003).

Muhammad Ujaj al-Khatib di dalam bukunya al-Sunnah Qabla al-Tadwin, menyatakan larangan itu hanyalah di peringkat awal Islam. Al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Saad bin Ubbadah al-Ansari memiliki satu sahifah yang mengandungi sebahagian dari hadith dan sunnah Rasulullah s.a.w. dan anak Saad meriwayatkan hadith-hadith dalam sahifah ini. Para sahabat mengambil inisiatif untuk mengusahakan pengumpulan dan pencatatan Hadith walaupun tidak diarah oleh Rasulullah s.a.w. Antara sebabnya ialah mereka semua menyedari bahawa baginda merupakan model yang terbaik dan sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh umat Islam. Ini ditambah dengan seruan al-Quran sendiri agar umat Islam mengambil apa sahaja yang bersumberkan diri baginda. Firman Allah dalam surah al-Hasyr: ayat 7:
•                                 •   •    
“(Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)."

Kemungkinan larangan itu bukan terhadap penulisan hadith secara umum, tetapi sebaliknya terhadap penulisan hadith bersama-sama dengan al-Quran dalam sohifah yang sama. Tujuannya ialah supaya tidak bercampur baur dengan al-Quran atau mengurangkan minat para sahabah di dalam menulis ayat-ayat al-Quran. Apabila kedudukan al-Quran dan sunnah telah jelas bagi orang Islam, penulisan hadith pun dibenarkan, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah menghafal.
Pengumpulan pada zaman sahabat
Zaman pemerintahan saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar al- Khattab tidak menunjukkan sebarang kemajuan dalam perkembangan ilmu Hadith. Pengumpulan hadith yang dilakukan di peringkat ini iaitu pengumpulan secara hafalan sahaja. Antara sebab lain yang mendorong kepada tidak berlakunya penulisan hadith ialah sikap para sahabah sendiri bimbang ianya akan menjejaskan perhatian mereka atau perhatian orang ramai terhadap al-Quran. Aisyah pernah meriwayatkan bahawa bapanya Abu Bakr al-Siddiq pernah membakar lima ratus hadith. Umar Ibn al-Khattab pernah berfikir untuk mengumpul sunnah secara bertulis, tetapi mengubah fikiran walaupun telah mendapat persetujuan ramai. Abu Musa al-Asy’ari meriwayatkan, melarang anaknya daripada menulis hadith kerana takut beliau tidak menulisnya dengan tepat. Dalam riwayat lain beliau disebut sebagai berkata:’Hafallah daripada kami sebagaimana kami telah menghafalnya’. Dipercayai banyak daripada tulisan-tulisan mengenai hadith dipadamkan atau dimusnahkan oleh penulisnya sendiri kerana takut ia akan terjatuh ke tangan orang yang tidak layak, tidak alim dan tidak tahu membezakan antara al-Quran dan hadith atau perkara-perkara lain.
Walaupun begitu peranan hadith ketika itu semain menonjol apabila sahabat menghadapi masalah untuk menyelesaikan kes-kes yang tidak dinyatakan dalam al-Quran secara khusus misalnya hak pewarisan nenek. Al-Mughirah bin Syu’bah meriwayatkan hadith bahawa dia pernah melihat Rasulullah s.a.w. memberikan satu perenam harta kepda seorang nenek. Dalam keadaan berhati-hati usaha di kalangan sahabat yang mengambil berat soal hadith tetap ada. Abu Ayub al-Ansari misalnya sanggup mengembara ke negeri Mesir menemui Uqbah bin Amir semata-mata kerana mahu mengesahkan sebuah hadith yang berbunyi:”Barang siapa yang menutup keaiban atau kesulitan seorang saudaranya yang muslim di dunia nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”
Mengikut riwayat Nafi daripada Ibnu Umar ada terdapat selambar tulisan mengenai zakat binatang peliharaan di hulu pedang Umar Ibn Khattab. Ali juga diketahui telah menggantung di pedangnya satu catatan tentang jenayah, kehormatan bumi madinah dan hukum tidak dibunuh balas orang Islam yang membunuh orang kafir. Mengikut Ibn al-Hanafiah Muhammad Ibn Ali r.a. bapanya pernah menghantar beliau untuk membawa sepucuk surat kepada Uthman yang didalamnya mengandungi arahan-arahan Rasulullah s.a.w. tentang zakat.
Sa’d Ibn Ubbadah r.a. juga diriwayatkan memiliki beberapa buah penulisan yang mengandungi hadith-hadith Rasulullah s.a.w. sebuah lagi penulisan iaitu yang dikenali al-sahifah al-sadiqah, iaitu nama yang diberi sendiri oleh penulisnya Abdullah ibn Amru’ Ibn al-As. Ia mengandungi hadith-hadith yang diterima oleh Abdullah daripada Rasulullah s.a.w. secara berdua-duaan sahaja. Perkembangan dan pengumpulan hadith yang giat dilakukan itu masih dikategorikan sebagai pengumpulan dalam dada atau hafalan walaupun sudah terdapat segelintir sahabat yang memulakan usaha mencatat hadith dengan kebenaran khas. Perhatian khulafa’ al-Rasyidin dalam memelihara hadith amat disanjung tinggi. Ketegasan mereka dalam menghalang umat Islam daripada berlakunya penyelewengan dalam meriwayatkan hadith sebenarnya tidak berniat serong tetapi semata-mata kerana menjaga dam memelihara kemuliaan serta darjat hadith Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri. Zaman ini dapat dianggap sebagai zaman asas kepada zaman pengumpulan dan penulisan Ilmu Hadith.
Pengumpulan pada Tabiin
Namun permasalahan penulisan hadith ini ke dalam kitab dan naskah khas hanya dibuat secara persendirian dan sehinggalah ke zaman Khalifah Umar Ibn Abd Aziz ra barulah urusan pembukuan hadith di jalankan secara serius ini disebabkan setelah berlakunya zaman fitnah dan pembunuhan, lahirnya Khawarij, Syiah dan beberapa puak sesat yang mendorong para ulamak dan muslihin Islam memikirkan jalan untuk menyelamatkan hadith baginda dengan mengumpulkan hadith yang sahih dan memperkenalkan ilmu isnad atau disebut mustalahah.
Arahan pelaksanaan membukukan hadith itu dilaksanakan oleh Ibn Syihab Az-Zuhri maka disebut bahawa beliaulah yang pertama mengumpulkan hadith secara tersusun. Pada zaman khalifah Abbasiyah muncullah pula golongan ulama seperti Ibn Juraij (150 H) yang mengumpulkan hadith di Makkah, Abu Ishaq (151 H) dan Imam Malik (179 H) yang mengumpulkan hadith di Madinah, Ar-Rabi ibn Syabih (160 H) , Hammad ibn Salamah (176 H) yang mengumpulkan hadith di Basrah dan Sufyan As-Sauri (116) di Kufah serta Al-Auzaie (156 H) yang mengumpulkan di Syam dan lain-lainnya yang nyatanya kebanyakkan mereka pernah berguru kepada Ibn Hazm dan Az-Zuhri.

Manakala selain menumpukan pada usaha menghimpunkan hadith para ulama’ juga mula meneliti hadith- hadith yang sampai kepada mereka dan perawi-perawi yang meriwayatkan hadith. Mereka mula meneliti siapakah perawi hadith, keadaan dan sifat peribadinya, kaedah menerima dan menyampaikan hadithnya, tarikh lahir dan kematiannya, perawi yang meriwayatkan darinya dan yang diriwayatkan olehnya dan pelbagai lagi demi menjaga kesahihan dan kebenaran hadith itu dari kepalsuan. (Emran Ibn Ahmad, 2005).
Manhaj Ahlul hadith (salafus soleh) dalam mempraktikkan sunnah dalam kehidupan
Memastikan kesahihan riwayat
Metodologi yang diamalkan oleh salafus solah dalam mengamalkan sunnah ialah memastikan kesahihan riwayat. Dalam mempraktikkan sunnah kita harus memastikan kesahihan hadith dengan demikian dengan yakin kita dapat mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Ibn Taimiyah berkata:’Tidak boleh kita menyandarkan syariat agama ini pada hadith-hadith yang lemah (dhaif).
Menyampaikan sunnah dan tidak memperdebatkannya
Memperdebatkan sunnah hanya akan membawa pada pertikaian yang member kesan terhadap sunnah nabawiyah itu sendiri. Imam Malik berkata:”Perdebatan hanyalah akan membawa pada pertikaian dan menghilangkan cahaya ilmu dari dalam hati, serta mengeraskan hati dan melahirkan kedengkian”. Demikian pula Imam Ahmad menyatakan:”Sampaikanlah sunnah dan jangan kalian memperdebatkannya”.


Istiqamah dalam pegangan walaupun berseorangan
Mujahadah dalam menegakkan sunnah amat penting dalam kehidupan masyarakat masa kini. Masyarakat Islam, Melayu khasnya sentiasa cenderung mengikut pendapat turun temurun dari ber’itimad dan berpegang dengan sunnah Rasul s.a.w. Umat Islam perlu berpegang pada sunnah walaupun ianya dipandang serong oleh masyarakat umum.
Perkembangan Kitab-kitab Hadith


Cara penyusunan kitab-kitab hadith.
Dalam penyusunan kitab-kitab hadith para ulama menempuh cara-cara antara lain, Penyusunan berdasarkan bab-bab fiqhiyah, mengumpulkan hadith-hadith yang berhubungan dengan shalat umpamanya dalam babush-shalah, hadith-hadith yang berhubungan dengan masalah wudhu dalam babul-wudhu dan sebagainya. Cara ini iaitu dengan mengkhususkan hadith-hadith yang shahih saja, seperti yang ditempuh oleh Imam Bukhari dan Muslim. Tidak mengkhususkan hadith-hadith yang shahih ( asal tidak seleweng ), seperti yang ditempuh oleh Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa’I, dan sebagainya. Penyusunan berdasarkan nama-nama sahabat yang meriwayatkannya. Menyusun nama-nama sahabat berdasarkan abjad.
Menyusun nama-nama sahabat berdasarkan nama qabilah. Mereka dahulukan Banu Hasyim, kemudian qabilah yang terdekat dengan Rasulullah. Dengan menyusun nama-nama sahabat berdasarkan kronologi masuknya Islam. Mereka didahulukan sahabat-sahabat yang termasuk assabiqunal awwalun kemudian ahlul Badr, kemudian ahlul Hudaibiyah, kemudian yang turut hijrah dan seterusnya. Menyusun sebagaimana ketiga dan dibahagi-bahagikan berdasarkan awamir, nawahi, ikhbar, ibadat, dan af’alun nabi. Seperti yang ditempuh oleh Ibnu Hibban dalam shahihnya. Penyusunan berdasarkan abjad-abjad huruf dari awal matan hadits, seperti yang ditempuh oleh Abu Mansur Abdailani dalam Musnadul Firdausi dan oleh as-Suyuti dalam Jamiush-Shagir. Pengumpulan al-Sunnah terus berlaku dan berterusan setelah kewafatan baginda, walaupun al-hadith belum terkumpul secara rasmi dalam buku-buku.
Kesimpulan
Dr. Musthafa al-Siba'I menyatakan:”Memang benar Kitab Suci memuat segala sesuatu, tapi hanya dalam garis besar saja, yang disebut bakal dijamin terpelihara dari usaha pengubahan tidak hanya pada al-Qur'an tapi juga meliputi sunnah, dalam hal ini hadits. Sunnah dan hadits tetap terpelihara, melalui sistem hafalan kaum muslim Arab yang memang terkenal memiliki kemampuan menghafal yang amat kuat (sebagai akibat pengembangan bahasa Arab yang amat tinggi namun tidak banyak bersandar pada penggunaan tulisan).”

Pencegahan Nabi dan para pembesar sahabat dan Tabi'un dari usaha membukukan hadits terjadi kerana kebimbangan akan tercampur dengan teks-teks al-Qur'an yang saat itu keadaan tidak ramai berilmu di kalangan umat, disebabkan sedikitnya mereka yang boleh membaca. Pencegahan itu hanya sekitar usaha pembukuan rasmi. Sedangkan yang tidak rasmi dan sebagai catatan peribadi beberapa sahabat telah melakukannya. Tegahan kepada orang yang menulis al-Quran dan hadith pada satu tempat dan keizinan menulis bagi yang lemah ingatan.










Rujukan
Abdul Halim El-Mummady, 1995. Islam dan al-Hadth. Angkatan Belia Islam Malaysia.
Ahmad Fauzan Abu Muadz alfauzani bin Yahaya, 2007. Mari mengenal Ilmu Hadith. Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru.
Asmawi haji Ehsan, 2003. Ilmu Hadith, hadith sebagai sumber hukum Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ariffin Omar dan Zaini Nasohah, 2005. Hadith daif ciri-ciri dan hukum. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
Jawiah Dakir, 1996. Kewibawaan Al-Tafsir dan Al-Hadis. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Noor Deris, 2000. Pengajian Al-Sunnah. Akademi Islam Universiti Malaya.
Subhi Salih, 1996. Ilmu Hadith, satu pengenalan dan kajian. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rujukan Internet:
http://ustaz.blogspot.com/2005_08_28_archive.html
http://media.isnet.org/islam/Paramadina/Konteks/Sunnah-Nur3.html

0 comments: