Monday, June 8, 2009

Budaya kerja cemerlang menurut perspektif Islam

Budaya kerja cemerlang menurut perspektif Islam
Oleh Prof Madya Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus
KECEMERLANGAN adalah matlamat diimpikan bukan saja oleh individu tertentu, malah juga oleh sesuatu organisasi berwawasan. Kecemerlangan adalah natijah daripada beberapa siri kejayaan dalam semua aspek diharapkan.

Tiada kecemerlangan bersama dengan kelemahan, kegagalan atau mundur ke belakang. Kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik, gemilang, menerima sanjungan, dan menjadi idola individu atau masyarakat.

Manusia mempunyai potensi berfikir, merangka strategi, melaksana dan mencapai tahap kejayaan cemerlang dalam sesuatu gerak kerja dilaksanakan. Bagaimanapun, kecemerlangan bukan suatu perkara mudah dicapai.

Kecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepemimpinan dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah positif. Islam mengatur dan memberi kerangka asas seseorang itu mencapai kecemerlangan mengikut landasannya tersendiri. Budaya kerja yang bagaimanakah dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam?

Sesuatu yang cemerlang pada anggapan seseorang, boleh jadi tidak dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam. Apabila disebut saja perkataan ‘budaya kerja cemerlang’, akan tergambar kepada kita bermacam pendekatan, strategi, dan teknik digunakan untuk mencapainya.

Dalam sesuatu organisasi kita akan mendengar ‘MBO’ (management by objective atau pengurusan bermatlamat) yang membabitkan visi, misi, objektif, pelan bertindak, tema, piagam dan sebagainya. Budaya kerja akan dirancang berdasarkan visi, misi dan objektifnya.
Sebagai contoh, sebuah organisasi menetapkan misinya untuk mendidik pelajar supaya menjadi guru budiman, cekap, kreatif pengajarannya serta dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan di sekolah menetapkan budaya kerjanya yang tersendiri.

Cara kerja atau budaya kerja yang hendak dibina adalah berdasarkan dorongan ke arah pencapaian hasil yang bermutu dan perkhidmatan cemerlang, sentiasa menghasilkan idea baru, berdisiplin, ilmiah dan profesional, kerja berpasukan dan wujudnya rangkaian kerja.

Seorang yang bekerja dengan cemerlang tidak akan bekerja sambil lewa. Kerja dan tugas sehariannya tidak akan dianggap sebagai bebanan atau sebagai satu rutin yang membosankan. Kerja yang perlu dilaksanakan akan dilakukannya dengan bersungguh-sungguh, tidak sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Prestasi kerjanya akan sentiasa tinggi. Jika menemui kesulitan ketika melaksanakan tugas, perkara perlu dilakukan adalah berusaha mencari jalan mengatasi atau menyelesaikan masalah itu dan tidak mudah berpatah hati dan mengaku kalah sebelum menyelesaikannya.
Untuk mencapai tahap kecemerlangan, seorang pekerja itu mesti ada disiplin. Mereka yang mempunyai disiplin diri boleh bekerja dengan baik dalam semua keadaan. Antara disiplin perlu ada pada seseorang untuk mencapai budaya kerja yang cemerlang adalah seperti berikut:

l Bersikap inisiatif. Pekerja yang mempunyai sikap inisiatif adalah mereka yang melakukan usaha atau sesuatu sebelum dipaksa oleh keadaan atau diarah melakukannya. Sesuatu kerja itu perlu dilakukan dengan tekun dan teliti untuk mengelakkan berlakunya kesilapan.

Kesilapan dalam melakukan pekerjaan memanglah boleh dimaafkan, tetapi jika dilakukan berulang kali akan menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Setiap pekerja mempunyai kebolehan tersendiri dalam bidang yang mereka ceburi. Oleh itu, mereka yang beretika dalam kerjanya akan sentiasa giat berusaha mengembangkan syarikat di mana mereka bekerja.

l Niat. Orang yang tidak mempunyai niat yang betul ketika bekerja tidak akan bekerja dengan baik. Orang itu tidak akan mempunyai komitmen terhadap kerja dilakukan. Ramai orang bekerja, tetapi tidak faham atau mengerti kenapa mereka bekerja selain daripada ingin menyara hidup.

l Bertanggungjawab terhadap masyarakat, iaitu etika kerja turut menekankan tanggungjawab terhadap masyarakat. Tidak wajar mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan akibat perbuatan itu kepada masyarakat dan alam sekitar.

Tanggungjawab terhadap masyarakat amat penting kerana banyak projek dewasa ini hampir melupakan faktor memberi kesan kepada masyarakat. Peranan ahli teknokrat amat penting dalam menekankan etika tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

l Amanah dalam kerja, iaitu sifat amanah adalah teras keharmonian dan kejayaan sesebuah institusi masyarakat atau pekerjaan. Bayangkan jika seseorang pekerja atau pegawai tidak mempunyai sifat amanah, segala urusan tidak akan berjalan sempurna dan membawa kepada kehancuran institusi atau syarikat itu.

l Komited terhadap kerjaya. Kunci kejayaan seseorang individu ialah komited terhadap kerjaya diceburinya. Komited dimaksudkan di sini ialah menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap apa dilakukan. Sifat komited ini dapat menyumbang ke arah terhasilnya mutu kerja atau khidmat cemerlang.

l Akhlak, adalah teras pembentukan etika kerja profesional. Akhlak mulia yang dimiliki seseorang pekerja mahu pun ketua menjadi lambang ketinggian peribadi dan kualiti individu terbabit.

l Jujur dalam pekerjaan. Sifat jujur atau benar dapat membentuk hubungan sihat di antara sesama pekerja, pekerja dan majikan dan sesama pelanggan. Sifat jujur dan benar dapat membendung segala perasaan syak wasangka dan tipu daya atau dusta.

l Bersyukur, atas kejayaan dan keuntungan diperoleh hasil sesuatu pekerjaan. Harus diingat bahawa keuntungan diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah.

l Pengurusan masa. Dalam menjalani pekerjaan, amat perlu dititikberatkan soal pengurusan masa kerana antara faktor kejayaan dalam pekerjaan adalah pengurusan masa berkesan. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu meringankan beban tugas di samping memudahkan segala urusan kerja.

l Menilai diri (Muhasabah), iaitu menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan dilakukan sepanjang kehidupan dilalui. Muhasabah ini tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada bangsa dan negara melainkan seorang itu menyedari bahawa dia ada peranan dan kewajipan sebagai anggota masyarakat.

Inilah beberapa perkara perlu ada pada seseorang pekerja untuk membentuk kecemerlangan kerjaya seseorang dalam acuan perspektif Islam.

0 comments: